Isnin, 19 November 2018 | 3:10pm
KHALID (tengah) merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan sambil ditemani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli
KHALID (tengah) merasmikan Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan sambil ditemani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Sasar produk biodegradasi 100 peratus menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mencegah ancaman kepada kelestarian alam sekitar akibat penggunaan plastik konvensional dan polisterin, pemain industri di Wilayah Persekutuan diwajibkan guna produk biodegradasi tulen dalam urus niaga mereka.

Perkara itu ditetapkan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 16 Julai 2018 yang bersetuju penggunaan produk biodegradasi dan ‘compostable’ (boleh dokompos) diteruskan dan dikuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sejak ia diperkenalkan pada 1 Jun 2016.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata kementerian komited membendung penggunaan plastik dan polisterin menerusi Pelan Tindakan Teknologi Hijau Wilayah Persekutuan yang tertumpu kepada pelaksanaan penggunaan produk biodegradasi di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Saya berharap menjelang 2020 masyarakat di Wilayah Persekutuan sudah menggunakan produk biodegradasi sepenuhnya dan menolak penggunaan beg dan straw (penyedut plastik).

“Penggunaan bekas polisterin dan straw bukan saja menyebabkan pencemaran, malah menghasilkan bahan kimia yang mengancam kesihatan manusia serta dikaitkan dengan pelbagai penyakit terutamanya kanser,” katanya pada Seminar Penyelarasan dan Penguatkuasaan Penggunaan Produk Biodegradasi di Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Seminar itu dihadiri lebih 300 peserta terdiri daripada wakil pemilik premis pusat beli-belah, pengilang, persatuan penjaja dan peniaga kecil.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Menurut Khalid, segelintir pusat beli-belah membenarkan penyewa menggunakan produk plastik yang tidak mendapat pensijilan SIRIM.

“Mereka juga didapati menggunakan produk plastik ‘oxo’ dan ‘photo-biodegradable’ yang dilarang penggunaannya, sekali gus melanggar syarat-syarat lesen yang ditetapkan premis.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pengilang dan pengedar yang menyalahgunakan logo Kementerian Wilayah Persekutuan pada produk plastik biasa, ‘oxo’ dan ‘photo-biodegradable’,” katanya.

Berita Harian X