Rabu, 21 November 2018 | 12:51pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melakukan gimik perasmian tapak projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Bandar Dato' Onn ketika Majlis Penyerahan Sijil Tawaran Rumah Bangsa Johor di Bandar Dato Onn dan Bandar Baru Majidee di tapak pelancaran Projek Perumahan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

32 pemohon terima sijil tawaran RIBJ

JOHOR BAHRU: Seramai 32 menerima Sijil Tawaran Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang disampaikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Mereka adalah daripada 71 pemohon yang terpilih untuk ditawarkan rumah berkenaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata baki penerima akan diserahkan pada masa depan.

Beliau berkata, sebanyak 488 unit rumah dalam pembinaan di tapak projek RIBJ sejak Julai 2018 bakal disiapkan pada tahun 2020.

Katanya, antara matlamat YSIJ adalah memastikan setiap lapisan masyarakat memiliki rumah sendiri di kawasan sempurna serta selesa.

Katanya, Projek RIBJ dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) yang menyambut baik inisiatif Yayasan Sultan Ibrahim Johor menerusi kerjasama erat kerajaan negeri.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melakukan gimik perasmian sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (dua dari kanan), Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (empat dari kiri) dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (dua dari kiri) ketika Majlis Penyerahan Sijil Tawaran Rumah Impian Bangsa Johor di Bandar Dato Onn dan Bandar Baru Majidee di tapak pelancaran Projek Perumahan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“JCorp menerusi syarikat kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) membina RIBJ di dua kawasan pembangunan strategik dan berprestij.

“Projek RIBJ menyaksikan pembinaan rumah sesebuah dua tingkat jenis A sebanyak 29 unit, rumah berkembar dua tingkat jenis B (156 unit), rumah kluster dua tingkat jenis C (100 unit) dan rumah teres dua tingkat jenis D (203 unit) di tapak seluas 21.3 hektar.

“Bagi projek di Bandar Baru Majidee, JCorp menyempurnakan 320 unit pangsapuri tiga bilik dan projek di kawasan 2.7 hektar ini dijangka siap hujung tahun ini,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sijil Tawaran RIBJ di Bandar Dato Onn, di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad.

Majlis Prapelancaran RIBJ diadakan di [email protected] Kotaraya, pada 22 Mac 2017.

Seramai 350,000 permohonan diterima sehingga tarikh tutup pendaftaran pada 28 Februari lalu.

Pemohon kemudian diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemas kini maklumat permohonan secara dalam talian.

Sehingga tarikh tutup pada 8 November lalu, seramai 44,467 pemohon mengemas kini permohonan dan daripada jumlah itu, 22,405 pemohon berbuat demikian dengan lengkap.

Seramai 1,809 pemohon berjaya disenarai pendek berdasarkan kriteria ditetapkan untuk ditawarkan RIBJ dengan mereka dikehendaki menyerahkan dokumen sokongan yang diperlukan dalam tempoh tiga hari iaitu dari 9 hingga 11 November lalu.

Dengan mengambil kira kelayakan pinjaman bank selepas disaring pihak Bank Rakyat dan dokumen sokongan pemohon, seramai 71 pemohon terpilih untuk ditawarkan rumah berkenaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X