Jumaat, 23 November 2018 | 12:22pm
Uda Ngayang 52, (kiri) selepas diserang angin ahmar terus mencari rezeki dengan membuat parang, ketika ditemui pada Karnival Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP) Sarawak 2018 di Tebingan Kuching. - Foto Nadim Bokhari
Uda Ngayang 52, (kiri) selepas diserang angin ahmar terus mencari rezeki dengan membuat parang, ketika ditemui pada Karnival Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP) Sarawak 2018 di Tebingan Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Teroka sumber pendapatan baharu berasaskan hutan - KM

KUCHING: Sarawak menyediakan rancangan bagi meneroka sumber pendapatan baharu berasaskan hutan khususnya dalam sektor eko-pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kini pelbagai inisiatif diambil antaranya meningkatkan amalan pengurusan hutan secara mampan dan program konservasi hutan serta hidupan liar.

Abang Johari berkata, beliau percaya dengan pelaksanaan inisiatif itu, sumber pendapatan baharu itu akan turut dinikmati oleh rakyat terutamanya penduduk berdekatan kawasan hutan.

“Penduduk juga akan mendapat manfaat jika turut serta dalam aktiviti berkaitan dengan eko-pelancongan seperti menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong, inap desa dan penyediaan makanan tempatan.

“Inilah sumber pendapatan baharu yang boleh kita teroka daripada sektor perhutanan,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan perasmian Karnival Produk Hutan Bukan Kayu (NTFP) Sarawak 2018 yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Tebingan Kuching, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais; Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Pengarah Hutan Sarawak, Hamden Mohammad.

Abang Johari berkata, dalam usaha mengekalkan sumber hutan, kerajaan negeri menerusi Jabatan Hutan Sarawak meningkatkan tindakan untuk membanteras jenayah alam sekitar khususnya pembalakan haram.

“Usaha membanteras aktiviti haram sentiasa menjadi perhatian utama kerana selagi kegiatan pembalakan haram tidak dibendung, ia bukan sahaja akan menjejaskan sumber hutan, malah akan menyebabkan kepupusan khazanah rimba.

“Kerjasama masyarakat setempat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan diperlukan agar tindakan segera dapat diambil dalam usaha kita membanteras kegiatan itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X