Ahad, 25 November 2018 | 2:11pm
MENTERI Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membentangkan Belanjawan 2019 Terengganu di Dewan Undangan Negeri, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Terengganu bentang belanjawan berimbang

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu mengunjurkan perolehan hasil sebanyak RM2.015 bilion bagi 2019, jumlah yang sama dengan peruntukan Belanjawan 2019 bagi negeri ini, sekali gus menjadikannya bajet berimbang.

Jumlah peruntukan itu adalah lebih tinggi berbanding Belanjawan 2018 yang berjumlah RM1.996 bilion.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM66.93 juta dijangka akan dikutip melalui hasil cukai, hasil bukan cukai (RM203.53 juta) dan terimaan bukan hasil (RM1.745 bilion).

“Secara perinciannya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion untuk perbelanjaan mengurus yang mana daripada jumlah itu, sebanyak RM600 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Ia termasuk RM186.2 juta untuk projek bayaran tertangguh dan bayaran berjadual. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1.8 juta kepada Kumpulan Wang Bekalan Air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2019 Terengganu di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, sebanyak RM86 juta atau 4.27 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan tanggungan sebagaimana termaktub secara khusus mengikut undang-undang, manakala lebih RM1.9 bilion (95.73 peratus) pula diperuntukkan untuk perbelanjaan bekalan.

“Di bawah peruntukan perbelanjaan bekalan, sebanyak RM285.47 juta untuk emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM197.1 juta); aset (RM24.98 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM1.42 bilion) serta perbelanjaan lain (RM1.16 juta).

“Di bawah komponen pemberian dan kenaan bayaran tetap, sebanyak RM600 juta adalah caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan; RM230 juta diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), badan-badan berkanun dan pelbagai agensi, RM194 juta kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta untuk pelbagai program di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang akan memberi impak secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Berita Harian X