Ahad, 25 November 2018 | 6:34pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. - Foto Ghazali Kori
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. - Foto Ghazali Kori

Penerbangan terus jemaah umrah dari Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jemaah umrah dari negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu bakal menikmati penerbangan terus ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata beberapa perbincangan kerajaan negeri dengan syarikat pengendali umrah menampakkan perkembangan positif.

“Oleh kerana Terengganu memiliki lapangan terbang bertaraf antarabangsa, jadi sebagai negeri Pantai Timur yang berjiran dengan Kelantan dan Pahang, kita sedang mengusahakan untuk menyediakan penerbangan terus ke Makkah untuk jemaah umrah.

“Usaha ini kerana kita mendapat permintaan tinggi daripada penduduk negeri ini supaya satu penerbangan terus ke Makkah dapat dikendalikan bagi kemudahan jemaah umrah kita,” katanya,

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) yang juga bekas Menteri Besar pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Razif mengenai penerbangan terus AirAsia Kuala Terengganu-Johor Bahru, Ariffin berkata kerajaan negeri dimaklumkan ia mungkin akan ditamatkan, namun belum menerima surat rasmi mengenainya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini memohon penambahan penerbangan Kuala Terengganu-Johor Bahru daripada AirAsia daripada kekerapan tiga kali seminggu kepada lima kali seminggu.

“Bagaimanapun, kita menerima berita AirAsia akan menamatkan laluan penerbangan Kuala Terengganu-Johor Bahru, tetapi kita belum menerima surat rasmi mengenainya setakat ini,” katanya.

Tinjauan NSTP di laman web AirAsia juga mendapati, tiada lagi jadual penerbangan Kuala Terengganu-Johor Bahru untuk bulan depan, sekali gus menguatkan bahawa laluan penerbangan itu ditamatkan bulan depan.

Ketika ditemui di luar dewan Ariffin berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan AirAsia untuk mengekalkan laluan penerbangan ke Johor Bahru, kerana pihaknya dimaklumkan kadar peratusan penumpang bagi laluan itu melebihi 70 peratus bagi setiap kali penerbangan.

Pada Jun tahun lalu, syarikat penerbangan tambang murah itu memulakan penerbangan terus Kuala Terengganu-Johor Bahru sempena Kempen Visit Beautiful Terengganu 2017, dengan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut memohon AirAsia menyediakan laluan terus Kuala Terengganu-Pulau Pinang untuk meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Selain itu, kita dimaklumkan juga AirAsia akan menyediakan penerbangan terus Kuala Terengganu-Alor Setar, selain menambah laluan baharu Kuala Terengganu-Pulau Pinang.

“Malah kita juga memohon penambahan kekerapan penerbangan kepada tujuh kali sehari berbanding enam ketika ini untuk laluan Kuala Terengganu-Kuala Lumpur,” katanya.

Berita Harian X