Selasa, 27 November 2018 | 6:20pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membentangkan Belanjawan Perak 2019 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Belanjawan 2019 Perak sedia peruntukan RM1.06 bilion

IPOH: Kerajaan Perak hari ini membentangkan belanjawan defisit berlandaskan manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan menjadikan program pembangunan sosio-ekonomi rakyat sebagai fokus utama khususnya menambah baik dan memperkenalkan program baharu yang memberikan impak kepada rakyat.

Bertemakan ‘Bersama Memacu Harapan’ Belanjawan Perak 2019 turut memberi fokus terhadap lima perkara iaitu Mengukuhkan Ekonomi dan Kelestarian Sumber Negeri, Memacu Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat, Menggerakkan Revolusi 4.0, Meluaskan Jaringan Strategik Pembangunan Negeri dan Memastikan Perbelanjaan Mengikut Keperluan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika membentangkan belanjawan itu berkata, ia dirangka dengan mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang mencabar dan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, memperkasa daya saing negeri dan modal insan, serta pada masa yang sama memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan mendapat pembelaan.

Beliau berkata, belanjawan disediakan berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.061 bilion dengan RM1.03 bilion adalah dari hasil cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil manakala RM30.5 juta adalah dari terimaan pembangunan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM771 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dengan RM376.24 juta untuk perbelanjaan emolumen, RM272.21 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM12.53 juta bagi pembelian aset, RM107.63 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap serta RM2.4 juta untuk lain-lain perbelanjaan

“Perbelanjaan pembangunan pula diunjurkan sebanyak RM400 juta dengan sektor di bawah fokus Memacu Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat menerima agihan tertinggi RM238.38 juta atau 59.60 peratus, diikuti dengan RM142.40 juta atau 35.60 peratus untuk Mengukuhkan Ekonomi Dan Kelestarian Sumber Negeri.

“Selain itu sebanyak RM14.82 juta atau 3.70 peratus untuk Meluaskan Jaringan Pembangunan Strategik Pembangunan Negeri dan sebagai permulaan sebanyak RM4.40 juta atau 1.1 peratus diperuntukkan untuk Menggerakkan Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada pembentangan belanjawan kali ini, Ahmad Faizal turut mengumumkan beberapa berita baik kepada rakyat Perak termasuk mengumumkan beberapa perkara baharu yang dirancang dalam memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya, antaranya pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kira-kira 9,000 kakitangan awan negeri.

Beliau berkata, pembayaran bantuan khas itu akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada Disember tahun ini dan pada bulan Mei tahun hadapan.

Katanya, kerajaan negeri turut memanjangkan bantuan khas itu kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT), pekerja sambilan harian, guru tadika Islam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), guru kelas al-Quran dan fardhu ain (KAFA), guru thanawi, guru takmir, guru I’dadi, imam, bilal, siak, ketua kampung dan Tok Batin.

“Pembayaran juga akan dibuat dengan dua kali bayaran iaitu pada Disember ini dan Mei nanti,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan inisiatif dan bantuan baharu antaranya memperkenalkan Kad Makanan dan Kad Kesihatan dengan peruntukan RM22 juta kepada 17,000 penerima bermula Januari ini.

Katanya, kemudahan itu akan diselaraskan di bawah Yayasan Perak dengan nilai setiap Kad Makanan RM80 sebulan dan Kad Kesihatan berjumlah RM300 setahun bagi setiap penerima.

Beliau berkata, sejumlah RM17 juta disediakan khusus untuk Kad Makanan dan RM5 juta bagi Kad Kesihatan sepanjang tahun depan.

“Ini adalah contoh konsep bantuan bersasar yang benar-benar dapat membantu golongan yang memerlukan, berbanding pemberian wang tunai.

"Pada masa yang sama ia dapat mengelakkan penyalahgunaan bantuan oleh sesetengah penerima yang akhirnya membuatkan bantuan yang diberikan tidak mencapai matlamat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Peruntukan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi 2019 dinaikkan kepada RM33.89 juta.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus membantu rakyat di negeri ini meneruskan kehidupan harian walaupun dihimpit dengan kemiskinan terutama bagi mereka yang berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM930 sebulan.

Katanya, buat pertama kali dalam sejarah penubuhan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Malaysia, kerajaan Perak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada 41 PPDK.

"Sumbangan peruntukan daripada kerajaan negeri (seperti ini) adalah yang pertama di negara ini," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri turut menaikkan peruntukan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dinaikkan dari RM50,000 kepada RM60,000 setahun untuk tahun 2019.

“Kenaikan ini juga diberikan kepada semua Pusat Khidmat DUN pembangkang dan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkemaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di semua Pusat Khidmat DUN," katanya.

Berita Harian X