Khamis, 29 November 2018 | 3:29pm
SARAYA Arbi

Festival Kraf Johor sasar jualan RM7 juta

- Gambar oleh Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Festival Kraf Johor yang akan diadakan di Padang A, Angsana Johor, di sini, bermula 20 hingga 30 Disember ini, menyasarkan hasil jualan RM7 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Saraya Arbi, berkata ia akan disertai 300 usahawan dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai barangan termasuk tekstil, hasil rimba, seramik dan aksesori.

Katanya, kali terakhir festival itu dianjurkan di Johor adalah pada tahun 2016 dengan hasil jualan RM5 juta.

“Festival ini menjadi peluang bagi pengusaha kraf tempatan untuk menjana pendapatan.

“Malah, ia juga dinanti-nantikan penggemar kraf tempatan dan negara jiran kerana semua barangan ditawarkan adalah unik dan menarik,” katanya pada sidang media sempena Pasareka 2018 di Kompleks Kraf Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail dan Pengarah Kompleks Kraf Johor, Nor Azmi Ismail.

Saraya berkata, pihaknya mengadakan pra-Pasareka mulai Ogos 2018 dan menerima sambutan daripada 338 peserta, mulai 15 hingga 18 Disember di Kompleks Kraf Johor.

“Sebelum ini ia dianjurkan di ibu negara tetapi kali ini Johor menjadi pilihan bagi membolehkan peserta mengenali serta meneroka budaya masyarakat Johor.

“Antara aktiviti diadakan ialah cara mempelajari dan menghasilkan angklung, kompang, wau dan miniatur busana tradisional Johor,” katanya.

Berita Harian X