Sabtu, 1 Disember 2018 | 5:18pm
ANTARA peserta yang menyertai pertandingan memancing Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) di Tasik Kenyir. - Foto Rozainah Zakaria

Pemancing berkampung di Tasik Kenyir rebut RM44,000

KUALA BERANG: Lebih 200 peserta berkampung di Tasik Kenyir selama tiga hari, bermula hari ini, untuk menyertai pertandingan memancing Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM44,000.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Omar Ismail, berkata sebanyak 12 rumah bot dan 115 bot gentian kaca disediakan untuk semua pemancing termasuk dari Korea, Thailand, Brunei, Singapura dan China bagi menyertai pertandingan edisi kesembilan tahun ini.

Katanya, sembilan kategori dipertandingkan, antaranya Raja AMCT 2018, Raja Seberau, Raja Toman, Raja Istimewa, Terbaik Barramundi dan Pemancing Terbaik.

“Empat pemancing terbaik kejohanan berpeluang menyertai International Bass Fishing 2019 yang akan diadakan di Tasik Andong Korea Selatan menerusi Anglers Exchange Programme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelepasan peserta di Pengkalan Gawi, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Omar turut melepaskan kira-kira 100,000 benih ikan pelbagai spesies di Sungai Leban.

Omar berkata, pertandingan AMCT yang mula diperkenalkan pada 2009 bertujuan mempromosi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan harus dilawati.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah dijadual disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Isnin ini.

Berita Harian X