Selasa, 4 Disember 2018 | 4:09pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ditemui media pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Tidak perlu terpekik isu nyahwarta hutan - MB Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor belum memutuskan sebarang keputusan mengenai penyahwartaan sebahagian kawasan Hutan Simpang Bukit Lahong, Gombak bagi membolehkan projek perumahan dijalankan di kawasan itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata mana-mana pihak boleh menyatakan bantahan ketika proses pendengaran awam dijalankan nanti.

Katanya, proses pendengaran awam itu perlu dilaksanakan sebelum sebarang keputusan membabitkan penyahwartaan dibuat pihak kerajaan negeri.

“Jika ada bantahan yang signifikan, ia boleh disampaikan kerana itu proses biasa.

“Tidak perlu terpekik terlolong terlebih dahulu. Nyatakan pandangan kepada kita secara rasional.

“Kerajaan negeri mengambil berat kerana amat jelas komitmen kita untuk pastikan kawasan hutan dan kawasan hijau dikekalkan,” katanya ketika ditemui di lobi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Hari ini, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dalam satu kenyataan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Bukit Lagong itu bagi membolehkan pembinaan projek perumahan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil dipetik berkata, penyahwartaan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak menghiraukan alam sekitar namun membangunkan tanah yang boleh memperoleh keuntungan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi setiap penyahwartaan yang dibuat, pihaknya akan mewartakan tanah lain mengikut dasar 30 peratus hutan simpan dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan pentadbirannya kini akan menjalankan proses bantahan umum atau pendengaran awam bagi memberi memberi hak kepada semua pihak melahirkan pandangan masing-masing.

“Namun, kita terpaksa menurut beberapa keputusan yang dibuat pada 2005 hingga 2006 kerana ada sebahagian rumah sudah dibuat dan sebahagian lagi belum dibuat,” katanya.

Berita Harian X