Rabu, 5 Disember 2018 | 9:36am

PUSPAKOM terima pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah

SHAH ALAM: PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) menerima pengiktirafan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), sekali gus menjadikannya salah sebuah organisasi di Malaysia yang menerima sijil pengiktirafan terbabit.

Ini menguatkan lagi usaha PUSPAKOM dalam mencapai tahap integriti yang tinggi dalam operasinya.

ABMS terpakai kepada semua peringkat kakitangan PUSPAKOM termasuk pihak pengurusan dan semua pemegang kepentingan seperti vendor, pembekal, kontraktor, perunding dan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail, berkata syarikat itu sentiasa berusaha memastikan integriti di semua peringkat operasinya.

"Kami telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian kami menandatangani Ikrar Integriti Korporat yang turut disaksikan oleh SPRM.

“Memandangkan kedua-dua tonggak ini, kami terus-menerus mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus dan berintegriti tinggi ke arah meningkatkan persepsi orang ramai terhadap PUSPAKOM.

"Melalui pendekatan berdisiplin dan prosedur yang ketat, kami mewujudkan kesedaran tentang risiko rasuah dikalangan pihak berkepentingan supaya ianya dapat dikesan dan dicegah.

“Saya percaya dengan pensijilan ABMS ini, PUSPAKOM akan ditadbir dengan lebih baik dan mencapai kecemerlangan perkhidmatan, ketelusan, tanggungjawab dan integriti yang tinggi," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PUSPAKOM sudah mempunyai kawalan yang sedia ada iaitu Polisi Anti Rasuah, Prosedur Pemberi Maklumat, Dasar Tiada-Hadiah, Amalan Kod Etika & Perniagaan dan Penilaian Risiko Ketidakadilan.

Katanya, syarikat berkenaan juga membuka pelbagai saluran untuk membolehkan pelanggan memberi komen dan maklumbalas menerusi saluran PUSPAKOM termasuk saluran telefon Pemberi Maklumat (Whistleblower) dan e-mel.

“Di peringkat operasi, PUSPAKOM terus meningkatkan infrastruktur, peralatan dan sistemnya bagi memastikan standard yang tinggi dalam aktiviti pemeriksaan.

“Ia juga mempunyai pusat pemantauan yang ditubuhkan bagi memantau aktiviti pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan perkhidmatan bergerak yang menjalankan operasi di luar pusat pemeriksaan,” katanya.

Berita Harian X