Rabu, 5 Disember 2018 | 5:11pm
CHOW Kon Yeow semasa sidang media di Komtar. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Kerajaan Pulau Pinang pertahan tindakan roboh banglo warisan

GEORGETOWN: Meskipun dikritik pelbagai pihak, kerajaan negeri Pulau Pinang mempertahankan tindakan merobohkan banglo warisan bagi memberi laluan kepada pembinaan Medical City di Lebuh Raya Peel, di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata tiada syarat khusus yang menghalang kerajaan negeri daripada merobohkan bangunan warisan yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu.

“Dalam kes ini, kami sudah pun memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk merobohkan bangunan itu.

“Kami juga mendapat kelulusan untuk merobohkan tiga lagi banglo warisan yang berdekatan, namun ketiga-tiga struktur, yang juga bekas kuarters kerajaan itu belum lagi dirobohkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahad lalu, Kon Yeow merasmikan projek Medical City yang bernilai RM2 billion di atas kawasan seluas 2.83 hektar di Lebuh Raya Peel, di sini.

Pada majlis itu, Kon Yeow turut memaklumkan kepada pemberita bahawa lokasi majlis berkenaan adalah tapak sebuah bangunan warisan yang dirobohkan dengan kelulusan daripada MBPP.

Bagaimanapun, tindakan Kon Yeow itu mendapat bantahan daripada beberapa aktivis warisan yang menyifatkan kerajaan negeri tidak serius dalam melindungi bangunan warisan.

Untuk rekod, bangunan warisan di Lebuh Raya Peel adalah banglo era kolonial yang diklasifikasikan sebagai bangunan warisan kategori 2 dan dipercayai pernah diduduki beberapa kakitangan tertinggi pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, sebelum ia dibiarkan kosong.

Mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005, bangunan warisan berusia lebih 100 tahun dilarang daripada dirobohkan dan perlu dipulihara sebagai warisan negara. Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011 yang belum diwartakan, turut menyatakan perkara sama.

Berita Harian X