Khamis, 6 Disember 2018 | 1:56pm

Sultan Johor berkenan Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup dikekalkan sebagai Taman Negara Johor.

Perkara itu dikongsi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dalam twitter rasminyanya, HRH Crown Prince of Johor, hari ini, bagi menjelaskan status sebenar Pulau Kukup yang sebelum ini dikatakan sudah dibatalkan sebagai rizab Taman Negara.

Tunku Ismail turut berkongsi sepucuk surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Johor yang ditujukan kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor.

Surat bertajuk Kedudukan Pulau Kukup Kekal Sebagai Taman Negara Johor itu memaklumkan bahawa Sultan Johor berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup yang diletakkan di bawah Enakmen Sultanate Land terus kekal digunakan sebagai kawasan Taman Negara Johor.

Surat itu juga memaklumkan supaya Pulau Kukup hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri.

Dalam twitternya, Tunku Ismail turut menyuarakan kenapa isu Pulau Kukup diperbesarkan dan dipolitikkan.

“Isu tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri. Saya yakin apapun keputusan Kebawah Duli Tuanku dan kerajaan negeri adalah demi kepentingan dan kedaulatan Johor,” katanya.

Tunku Ismail juga memaklumkan Sultan Johor dan dia sendiri bersedia bertemu dengan pencinta alam sekitar yang mahu mendapatkan kepastian agar ekosistem di Pulau Kukup dipelihara untuk melindungi hidupan liar dan marin.

“Ya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan saya sendiri gembira untuk bertemu dengan mereka. Bila-bila masa sahaja,” katanya.

Berita Harian X