Khamis, 6 Disember 2018 | 7:03pm
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Kumpulan lelaki bersenjata panik selepas kru bot tunda lepaskan suar

KOTA KINABALU: Tindakan seorang kru bot tunda melepaskan tembakan suar ke udara menggunakan ‘flare-gun’ menyebabkan empat lelaki bersenjata yang naik ke bot berkenaan panik lalu terjun ke laut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, empat lelaki bersenjata api menghampiri bot tunda terbabit sebelum menaikinya ketika di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, malam tadi.

“Selepas itu, empat lelaki itu dipercayai melepaskan tembakan menyebabkan tekong bot tunda cedera di paha akibat terkena tembakan.

“Salah seorang kru bot tunda kemudian melepaskan tembakan menggunakan `flare-gun’ menyebabkan empat suspek panik lalu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri menggunakan bot,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Omar berkata, pasukan keselamatan sedang menjalankan siasatan bagi mengesan semua suspek terbabit.

“Siasatan masih diteruskan dan kita percaya semua suspek melarikan diri ke arah perairan antarabangsa.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan tiada kru yang dilarikan oleh kumpulan berkenaan. Semua kru selamat cuma tekong bot tunda cedera dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

“Bot tunda diiring ke Jeti Marin Lahad Datu termasuk kru untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, bot tunda Mantran 2, yang membawa 13 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, sebuah bot berwarna hitam dinaiki empat individu lengkap bersenjata panjang dipercayai jenis M16 menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan lalu melepaskan tembakan. Tidak dapat dipastikan motif kejadian itu sama ada cubaan merompak atau culik.

Pada 11 September lalu, dua lelaki yang juga kru bot nelayan diculik sekumpulan lelaki di perairan Pulau Gaya Semporna dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Kedua-dua mangsa berusia 30-an sedang menangkap ikan di perairan itu ketika kejadian berlaku.

Sebelum itu, pada 8 Disember 2016 tiga penculik ditembak mati pasukan keselamatan dan dua ditangkap di perairan Semporna.

Berita Harian X