Sabtu, 8 Disember 2018 | 1:21pm
PENGARAH Jabatan Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni (kanan) hadir pada Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Peringkat Antarabangsa, Negeri Perlis 2018, di Kangar, hari ini. - Foto Dziyaul Abdul Rahman

Dapatkan kebenaran sebelum mendaki - Jabatan Perhutanan Perlis

KANGAR: Jabatan Perhutanan Perlis mengingatkan orang awam tidak sewenang-wenangnya melakukan aktiviti riadah dan pendakian di dalam kawasan pergunungan yang diwartakan sebagai hutan simpan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni, berkata ini berikutan terdapat sebahagian pihak yang mengaut keuntungan dengan menjadi malim gunung tidak bertauliah di negeri itu.

“Kita menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat pertanyaan di Pejabat Perhutanan negeri sebelum mereka melakukan aktiviti di bukit dan gunung.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sewaktu mereka berada di dalam hutan yang diwartakan sebagai hutan simpan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan negeri,” katanya dalam satu sidang media pada Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Peringkat Antarabangsa, Negeri Perlis 2018, di sini, hari ini.

Ag Shaffie berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dalam negeri itu yang mempromosikan pakej pendakian gunung dan bukit yang diwartakan sebagai hutan simpan dalam negeri ini.

Pihak terbabit mendakwa berpengalaman dalam aktiviti pergunungan selain kononnya memperoleh kebenaran pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pendakian dalam negeri ini.

Ag Shaffie berkata, pihaknya kini mengambil inisiatif dengan menubuhkan Komuniti Hutan Perlis sebagai pembantu pendaki pelancongan bagi kawasan pendakian sekitar Taman Negeri.

“Mereka ini diberikan kebenaran untuk membawa pengunjung di sekitar Gunung Perlis sahaja dan sekiranya pengunjung ingin ke Bukit Pelarik dan Wang Gunung, mereka perlu mendapatkan keizinan Jabatan Perhutanan terlebih dahulu.

“Sekiranya mereka melanggar arahan yang dikeluarkan mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tanpa kebenaran dan di negeri Perlis ia mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1987,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu dua kematian dilaporkan berlaku di dua kawasan pergunungan ketika menjalani aktiviti pendakian iaitu di Hutan Simpan Bukit Pelarik dan Bukit Kampung Wai.

Berita Harian X