Sabtu, 8 Disember 2018 | 4:52pm
PENGURUS Besar Kanan Serantau Sunway Hotels & Resorts, Kelly Leong. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sunway Hotels & Resorts kitar semula sabun

KUALA LUMPUR: Sunway Hotels & Resorts dengan kerjasama Ecolab Sdn Bhd dan Kinder Soaps Sdn Bhd bersatu dalam memperkenalkan projek Soapful.

Projek Soapful itu membabitkan proses mengitar semula sabun-sabun untuk tujuan kebajikan dan turut mendapat kerjasama daripada Komuniti Belia Selangor (SAY).

Pengurus Besar Kanan Serantau Sunway Hotels & Resorts, Kelly Leong, dalam satu kenyataan, berkata projek #SunwayForGood #SunwaySoapful memberi manfaat kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi sejajar dengan komitmen kumpulan hospitaliti berkenaan kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Sunway Hotels & Resorts menyumbangkan 1,000 ketul sabun kitar semula kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia (PKAYDEM) di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi memulakan projek keusahawanan sosial di rumah kebajikan berkenaan.

"Projek ini bertujuan memberi manfaat kepada alam sekitar dengan mengeluarkan sisa sabun dari tempat pembuangan sampah dan membantu rumah mengurangkan kos.

"Di samping itu, ia membantu anak-anak ini membina kemahiran dalam perniagaan dan harapan kami, selain dapat menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk keperluan harian, mereka akan menggunakan kemahiran hidup ini untuk memulakan perniagaan sendiri," katanya.

Berita Harian X