Ahad, 9 Disember 2018 | 11:38am
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor rekod 7.52 juta kemasukan pelancong

ISKANDAR PUTERI: Seramai 7.52 juta pelancong atau pelawat antarabangsa direkodkan masuk ke Johor menerusi 14 pintu masuk sedia ada dari Januari hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung, berkata Singapura mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 5.6 juta pelancong.

Katanya, ia diikuti Indonesia (690,998), China (386,778), Filipina (157,594), India (101,750), Jepun (59,901), Korea Selatan (62,474) dan Thailand (47,758).

“Negara lain termasuk United Kingdom (27,133), Australia (30,548), Brunei (4,918) dan lain-lain negara seramai 351,784 pelancong atau pelawat direkodkan sepanjang Januari hingga Jun lalu.

“Jumlah keseluruhan pelancong atau pelawat antarabangsa direkodkan sepanjang tahun lalu masuk ke Johor adalah seramai 14.44 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cheo Yee How (PH DAP-Perling) mengenai statistik kemasukan pelancong ke negeri ini pada penggal persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kali ke-14, di sini hari ini.

Cai Tung berkata, berdasarkan pemerhatian dibuat, lima daerah utama yang sering dikunjungi pelancong domestik dan antarabangsa di negeri ini ialah Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Pontian dan Muar.

“Kerajaan negeri menerusi Tourism Johor mendapati bahawa antara tujuan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri Johor adalah seperti percutian, berehat, membeli belah, hiburan, makanan, rawatan perubatan, menghadiri mesyuarat atau seminar dan melawat rakan atau saudara,” katanya.

Berita Harian X