Ahad, 9 Disember 2018 | 2:16pm
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto Owee Ah Chun
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto Owee Ah Chun

AirAsia diminta tidak naik harga tiket

KUCHING: Penamatan laluan MASWings membabitkan enam laluan di negeri ini bermula 1 Januari ini menyebabkan kekerapan penerbangan di semua laluan terjejas kini bergantung sepenuhnya kepada AirAsia.

Justeru, syarikat penerbangan tambang murah itu diminta tidak mengenakan harga tinggi di kesemua laluan terbabit selepas MASWings tidak lagi beroperasi.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sebelum ini MASWings dan AirAsia menyediakan perkhidmatan mereka di enam laluan terbabit, namun berkemungkinan penamatan penerbangan MASWings didorong faktor persaingan.

“Saya difahamkan minat pengguna adalah terhadap AirAsia untuk menggunakan perkhidmatan syarikat tambang murah itu lebih tinggi kerana pesawat digunakan adalah lebih besar, sekali gus memberi lebih keselesaan.

“Saya berpandangan atas faktor persaingan, MASWings tidak lagi berminat untuk menawarkan perkhidmatan di enam laluan berkenaan mungkin faktor kekurangan penumpang,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Enam laluan yang ditamatkan laluan membabitkan MASWings adalah Kuching–Sibu; Kuching– Bintulu; Kuching–Miri; Kota Kinabalu–Miri; Kota Kinabalu–Sibu dan Kota Kinabalu–Bintulu.

Berikutan penamatan laluan berkenaan, Kementerian Pengangkutan turut membatalkan kontrak MASWings bermula tahun depan, di semua enam laluan terbabit yang sepatutnya tamat pada 2024.

Abdul Karim ketika mengulas lanjut, berkata tindakan penamatan berkenaan pastinya merugikan rakyat Sarawak berikutan jumlah kekerapan penerbangan semakin kurang dan tiada saingan harga tiket antara MASWings dan AirAsia.

“Saya berharap AirAsia yang memonopoli laluan memberi perkhidmatan sebaiknya dan tidak mengenakan harga tiket melampau,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri untuk beroperasi di semua laluan dalam Sarawak.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X