Khamis, 13 Disember 2018 | 2:26pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - Foto Mohd Radzi Bujang

Kekalkan jajaran asal Lebuhraya Pan Borneo - Awang Tengah

LAWAS: Kerajaan Pusat diminta mengekalkan jajaran asal Projek Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei Darussalam yang disifatkan mampu memperkukuhkan hubungan kedua-dua wilayah, terutama dalam konteks perdagangan dan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata langkah itu mampu memendekkan tempoh perjalanan, selain menjimatkan kos pembinaan lebuh raya itu berbanding jajaran baharu yang dicadangkan sebelum ini berikutan cabaran dari segi muka bumi di wilayah utara negeri ini.

“Jajaran asal projek lebuh raya ini boleh dijadikan simbol hubungan baik antara kedua-dua negara yang sekian lama terjalin.

“Ini memudahkan kerjasama dalam pembangunan ekonomi kedua-dua negara, khususnya di Sarawak dalam memasarkan produk hasil negeri di utara negeri ini melalui perhubungan udara negara Brunei Darussalam yang lebih meluas di peringkat global,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Khas Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), di sini, semalam.

Jajaran baharu lebuh raya itu dicadangkan oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian, susulan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Sultan Brunei di Bandar Seri Begawan, pada 3 September lalu.

NRDA antara agensi diwujudkan kerajaan negeri, khusus dalam mewujudkan wilayah pembangunan ekonomi baharu di Sarawak, sekali gus membantu meningkatkan kemajuan serta sosioekonomi setempat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Awang Tengah juga yakin hubungan dagang antara kedua-dua pihak memberi kelebihan kepada penduduk yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.

“Pengusaha kecil dari kampung dan rumah panjang boleh memasarkan produk ke negara jiran untuk pasaran kecil mahupun pasaran lebih besar.

“Justeru, kita amat memerlukan jaringan perhubungan yang lebih moden dan cekap dalam mendokong usaha ini, sekali gus mewujudkan akses pembangunan serta ekonomi ke kawasan terbabit,” katanya.

Malah, beliau yakin dengan adanya jajaran lebuh raya itu mampu meningkatkan prestasi perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara, selain menghasilkan implikasi positif terhadap sektor pelancongan.

Bagaimanapun, Awang Tengah tidak menafikan pentingnya pembinaan laluan merentasi kawasan pedalaman dan luar bandar, terutama di wilayah utara negeri ini yang bergunung-ganang.

Justeru, kajian yang lebih komprehensif perlu dilakukan Kerajaan Pusat jika mahu meneruskan usaha membina laluan alternatif merentasi kawasan terbabit.

Sementara itu, Kerajaan Pusat diharapkan ikhlas dalam membangunkan Sarawak walaupun negeri ini dikuasai entiti politik berbeza.

“Kita perlu bekerjasama Sarawak secara bersama dan bukannya sengaja mempolitikkan beberapa perkara untuk kepentingan mereka.

“Keutamaan ialah khidmat kepada rakyat dan membela nasib rakyat Sarawak yang memerlukan perhatian pemimpin negeri sendiri mahupun Kerajaan Pusat,” katanya.

Berita Harian X