Ahad, 16 Disember 2018 | 1:47pm
Che Mohd Amirul Che Abdul Aziz, 13, (kiri) bersama rakan-rakannya mengambil peluang memukat ikan ketika banjir melanda di kampungnya di Gual Kok Batu. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Bomba dekati kanak-kanak beri nasihat bahaya banjir

- Gambar oleh Hazira Ahmad Zaidi

RANTAU PANJANG: Mendekati kanak-kanak di kawasan yang dinaiki air sambil menasihati mereka bahaya banjir, itu antara usaha Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam menyasarkan mangsa banjir sifar pada tahun ini.

Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Rantau Panjang, Zaimi Samat, berkata pihaknya menggunakan peluang itu ketika membuat rondaan banjir bertemu kanak-kanak bagi menasihati dan berkongsi maklumat mengenai bahaya banjir.

Katanya, kaedah itu dapat memberi kesedaran, terutama kepada anak kecil supaya berhati-hati dan bukan hanya teruja bermain air banjir kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Biasa ketika membuat rondaan kami dapat berjumpa dengan ramai kanak-kanak yang leka bermain air. Ada yang takut dengan kehadiran bomba tetapi ramai juga yang datang mendekati kami.

“Kami gunakan kaedah mendekati serta bergaul dengan golongan kanak-kanak selain berborak mendengar keterujaan mereka bermandi-manda dan pada masa sama kami beri nasihat.

Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Rantau Panjang, Zaimi Samat (kanan), menasihati kanak-kanak yang leka bermain air banjir di kawasan rendah sekitar Rantau Panjang. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

“Kebanyakan mereka menjadikan banjir seperti pesta terutama sekarang adalah musim cuti sekolah,” katanya ketika ditemui selepas membuat rondaan banjir di kawasan rendah sekitar daerah ini.

Zaimi berkata, selain kanak-kanak, ahli keluarga lain, terutama ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengawasi anak mereka.

“Sebagai wakil agensi keselamatan, perkara yang paling membimbangkan ketika musim tengkujuh adalah soal keselamatan masyarakat setempat yang terdedah menjadi mangsa banjir.

“Saya sangat berharap agar tidak ada sebarang rekod kematian akibat lemas dalam kejadian banjir kali ini. Biarpun banjir ini adalah perkara biasa buat penduduk di sini, bahayanya tetap ada,” katanya.

Berita Harian X