Ahad, 16 Disember 2018 | 5:39pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) menyampaikan sumbangan buku ilmiah Bahasa Inggeris sumbangan Johor Corporation (JCorp) kepada pengetua dan guru besar sekolah di Simpang Renggam, dan diperhatikan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (tiga dari kiri) ketika Program Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) sempena 50 tahun JCorp, di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR). - Foto Farid Noh

JCorp sumbang 20,000 buku Bahasa Inggeris

KLUANG: Demi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar, Johor Corporation (JCorp) mengagihkan 20,000 naskhah buku ilmiah Bahasa Inggeris kepada pelajar di seluruh negara.

Menerusi Program Books For Asia yang dijalankan dalam tempoh tiga tahun bermula 2019 hingga 2021 itu, Jcorp menerusi Waqaf An-Nur akan mengagihkan 20,000 naskhah buku ilmiah Bahasa Inggeris bernilai RM2 juta setahun.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata program pengagihan buku itu adalah satu daripada program tanggungjawab korporatnya bagi mendekati dan menyantuni masyarakat selain menyalurkan pelbagai bantuan lain selaras misi Membina dan Membela.

“JCorp mulakan pengagihan buku Bahasa Inggeris ini di kawasan Parlimen Simpang Renggam dahulu sebelum disusuli kawasan lain di seluruh negara.

“Kami amat mengharapkan usaha murni ini dapat meningkatkan prestasi serta penguasaan Bahasa Inggeris generasi muda negara malah kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan ini akan mengeratkan hubungan JCorp dengan komuniti di seluruh negara.

“JCorp amat berbangga kerana inisiatif ini disokong Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan malah kami sentiasa bersedia menghulurkan bantuan demi memperkasakan pelajar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) sempena 50 tahun JCorp di Dewan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, mengalu-alukan sumbangan JCorp itu yang dilihat mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Katanya, penguasaan Bahasa Inggeris pada tahap tinggi dapat digilap melalui pembacaan buku ilmiah yang menjadi sumber rujukan pelajar.

“Program Books For Asia adalah seiring dengan aspirasi Asia, termasuk Malaysia untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pembacaan buku.

“Kementerian Pendidikan sangat menyokong penuh dan mengalu-alukan sumbangan syarikat korporat terutama JCorp dalam meningkatkan kualiti pelajar Malaysia,” katanya.

Berita Harian X