Isnin, 17 Disember 2018 | 1:10pm

Rangka manusia prasejarah ditemui di Gua Chawan

KUALA LUMPUR: Rangka manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November lalu.

Rangka prasejarah yang dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama sekumpulan penyelidik sejarah.

Kumpulan penyelidik sejarah itu membabitkan pegawai dan kakitangan bahagian Arkeologi, Jabatan Warisan Negara (JWN), penyelidik Jabatan Sejarah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata selain rangka manusia, turut ditemui artifak lain ketika menjalankan ekskavasi arkeologi di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan artifak yang ditemui antaranya alat litik, sisa makanan berbentuk tulang haiwan, cangkerang siput, brutia costula serta serpihan tembikar tanah.


MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini berhubung penemuan rangka manusia prasejarah dan artifak arkelogi di Gua Chawan, Ulu Kelantan. - Foto Asyraf Hamzah

“Penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini adalah jumpaan penting bagi arkeologi negara kerana dapat memberi fakta baharu terhadap amalan pengebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia.

“Rangka manusia ini ditanam dalam keadaan sedikit terlipat dengan bahagian muka menghala ke utara, manakala bahagian lutut ke arah selatan.

“Menurut Jabatan Warisan Negara rangka ini dipercayai remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai pada rangka terbabit,” katanya pada sidang media di sini, hari ini berhubung penemuan rangka manusia prasejarah dan artifak arkelogi di Gua Chawan, Ulu Kelantan.

Turut hadir, Ketua Pengarah JWN, Datuk Dr Zainah Ibrahim.

Mohamaddin juga berkata rangka terbabit sudah dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November lalu dan kini sudah ditempatkan di makmal konservasi JWN bagi kerja merekod dan pemuliharaan rangka secara menyeluruh.

“Kerja terbabit dijangka akan mengambil tempoh 60 hari sehingga selesai merangkumi pengambilan sampel, merekod, pembersihan, rekod tarikh, pencantuman, pengawalan kelembapan dan suhu serta repositori.

“Segala jumpaan di tapak ini cukup bermakna bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.

“JWN dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan segala penemuan ini akan dijadikan bahan rujukan penting sejarah dan warisan negara serta dapat dipamerkan untuk tontonan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Zainah juga berkata satu bangunan warisan akan dibangunkan di Gua Musang kelak bagi mempamerkan barang artifak ini.

“Buat masa ini penemuan rangka manusia dan artifak masih pada peringkat konservasi.

“Bangunan warisan itu mungkin akan dibina pada 2020 dan mengambil masa dua hingga empat tahun sebelum ia dibuka kepada umum,” katanya.

RANGKA manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November lalu. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X