Selasa, 18 Disember 2018 | 3:01pm
Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Buranuddin Tibek (belakang, tengah) bergambar bersama orang ramai pada Majlis Perisytiharan Keputusan Peperiksaan UPKK di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Prestasi Ujian Penilaian Kelas KAFA 2018 Johor menurun

JOHOR BAHRU: Prestasi keseluruhan keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2018 negeri ini menurun berbanding tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Md Rofiki A Shamsudin, berkata secara keseluruhan Gred Purata Skor (GPS) UPKK Johor bagi 2018 adalah 1.46 iaitu menurun berbanding 1.37 pada 2017.

Bagi UPKK 2018, katanya, sebanyak 599 pusat peperiksaan beroperasi di seluruh Johor membabitkan seramai 27,180 calon.

“Jumlah ini mencatat peningkatan seramai 2,235 calon berbanding tahun lalu, namun 1.54 peratus atau 418 calon tidak hadir menduduki peperiksaan. Batu Pahat mempunyai pusat pemeriksaan terbanyak (107) yang menempatkan 4,092 calon, diikuti Johor Bahru (106) dengan 8,701 calon dan Kota Tinggi (69), 2,648 calon.

“Bagi subjek amali solat, Johor mengekalkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 1.05 seperti tahun lalu, al-Quran (1.14) menurun daripada 1.13, manakala Johor Bahru mencatat GPMP terbaik dengan 1.09,” katanya pada Majlis Perisytiharan Keputusan Peperiksaan UPKK di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Buranuddin Tibek. Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, Yosree Ikhsan.

Md Rofiki berkata, subjek penghayatan cara hidup Islam mencatat 1.05 iaitu kekal seperti 2017 dengan Johor Bahru memperoleh gred tertinggi 1.0.

Katanya, subjek Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadat) mencatat penurunan iaitu 1.75 berbanding 1.71 dengan Tangkak mencatat tertinggi (1.55).

“Subjek Jawi dan khat mencatat peningkatan dengan 1.24 berbanding 1.29 tahun lalu dengan Johor Bahru (1.17), Sirah mencatat penurunan (2.21) berbanding 1.81 dengan Tangkak (1.91).

“Subjek Adab mencatat penurunan 1.39 berbanding 1.19 dengan Johor Bahru (1.26), Lughatul Quran menurun kepada 1.91 berbanding 1.76 (Pontian) 1.78.

“Sebanyak 18.38 peratus calon memperoleh 8A, penurunan berbanding 27.79 peratus, manakala bagi 7A meningkat kepada 13.55 peratus (13.10 peratus) dan 6A meningkat kepada 16.46 peratus berbanding 14.96 peratus,” katanya.

Md Rofiki berkata, Johor Bahru mencatat keputusan terbaik negeri dengan 1.40, diikuti Tangkak (1.41) dan ketiga, Pontian (1.43).

Katanya, pelajar terbaik lelaki dan perempuan peperiksaan UPKK kedua-dua mereka dari Sekolah Agama Taman Pagoh Jaya, Pagoh, iaitu Muhammad Afnan Hifzan Azizan yang memperoleh 97.63 peratus, manakala Rabiatul Adawiyah Halil, mendapat 98.63 peratus.

“Johor Bahru muncul daerah terbaik UPKK Johor dengan catatan GPS 1.40 manakala sekolah terbaik peringkat negeri, Sekolah Agama Relau Asahan, Tangkak (1.0),” katanya.

Sementara itu, Buranuddin berkata, tahun lalu Johor muncul tempat pertama secara keseluruhan peperiksaan UPKK.

Katanya, sebagai negeri tunggal yang mempunyai sekolah agama kerajaan negeri, semua peperiksaan dan pembelajaran dapat dijalankan dengan mudah dan lebih teratur.

Berita Harian X