Selasa, 18 Disember 2018 | 9:57pm
LEBIH 300 jemaah menyertai solat jenazah ghaib untuk anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim selepas solat Isyak di Masjid Sultan Azlan Shah. - Foto BALQIS JAZIMAH ZAHARI

300 jemaah solat ghaib Muhammad Adib di Ipoh

IPOH: Kira-kira 300 jemaah menyertai solat jenazah ghaib untuk anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, di Masjid Sultan Azlan Shah di sini selepas solat Isyak malam ini.

Solat ghaib jenazah itu diimamkan oleh Imam Utama masjid berkenaan, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.

Seramai 30 anggota bomba terdiri daripada ketua bahagian, ketua zon, ketua balai dan pegawai kanan di negeri ini diketuai Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Syed Azman Syed Ghazali, turut menyertai solat jenazah berkenaan.

Solat jenazah itu disusuli dengan bacaan tahlil.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Adib yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lalu, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam semalam.

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, di sini kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Allahyarham dilahirkan pada 28 Mei 1994, berasal dari Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah

dan adalah anak kedua daripada empat beradik.

Arwah dilantik sebagai anggota bomba pada 24 Ogos 2014, mula berkhidmat sebagai anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya pada 2015.

Berita Harian X