Rabu, 19 Disember 2018 | 2:26pm
SHAMSUDIN Atan menunjukkan poster insentif pengeluaran getah (IPG) ketika ditemui di pejabatnya di Indera Mahkota. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Rugi pekebun getah tak tuntut IPG

KUANTAN: Hanya kira-kira 3,000 daripada 30,000 pekebun kecil getah di Pahang atau 10 peratus yang membuat tuntutan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Pengarah Wilayah Timur LGM, Shamsudin Atan, berkata pekebun kecil getah perlu mendaftarkan dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membolehkan mereka membuat tuntutan IPG.

Beliau berkata, pekebun perlu memohon kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) terlebih dahulu bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripada IPG hasil daripada penjualan getah.

Katanya, masih ramai yang masih belum berbuat demikian menyebabkan tidak menerima IPG.

“Semua pekebun kecil getah layak menerima bantuan IPG namun mereka perlu harus berdaftar untuk membolehkannya membuat tuntutan dengan mengemukakan slip penjualan hasil dan borang tuntutan IPG.

“Kita mahu mereka semua pekebun kecil getah di negeri ini berdaftar bagi membolehkan mereka menerima insentif itu seandainya harga getah terus kekal rendah.

“Kalau harga pasaran getah sekitar RM1.80 sekilogram (50 peratus skrap basah), pekebun kecil getah masih memperoleh 40 sen lebihan kerana penjualan getah mengikut harga paras aktif IPG RM2.20 buat masa ini. Jadi, kita ingin membantu mereka merasai manfaat yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Shamsudin berkata, sejak pelaksanaan IPGjumlah yang mendaftar amat rendah dan pihaknya meminta supaya pekebun getah dan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung membantu mendaftar pekebun kecil terutama di kawasan pedalaman bagi membolehkan mereka menerima IPG.

Beliau juga berkata, bantuan itu juga adalah usaha kerajaan membantu golongan pekebun kecil terbabit.

“Semua tuntutan perlu dilakukan pekebun kecil dan boleh menghantar sendiri permohonan di pejabat LGM di Kuantan dan Temerloh.

“Mereka juga boleh menghantar tuntutan mereka melalui pekebun getah atau wakil yang berkaitan atau menggunakan perkhidmatan penghantaran kurier atau Pos Malaysia,” katanya.

Berita Harian X