Rabu, 26 Disember 2018 | 2:29pm
Mulai 2 Januari depan, sistem bayaran menggunakan aplikasi telefon pintar dikuatkuasakan di beberapa kawasan di Seremban. - Ihsan FB JomParking

Parkir digital mulai tahun depan

SEREMBAN: Mulai 2 Januari depan, sistem bayaran menggunakan aplikasi telefon pintar dikuatkuasakan di beberapa kawasan di Seremban bagi memudahkan urusan pembayaran caj parkir.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehudin, berkata orang ramai boleh memuat turun aplikasi JomParking di Play Store dan Google Store bagi memudahkan mereka membuat bayaran.

“Kita melantik syarikat Oval Success Sdn Bhd melalui tender terbuka bagi mengendalikan kutipan bayaran menggunakan aplikasi itu. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi dan kredit bagi menggunakan aplikasi itu,” katanya kepada NSTP.

Melalui aplikasi itu, pengguna hanya perlu mengisi nombor kenderaan, nombor petak parkir dan tempoh.

Pengguna akan menerima notifikasi dalam tempoh lima minit sebelum tamat waktu meletak kenderaan bagi mengelak disaman penguat kuasa, malah mereka boleh melanjutkan masa parkir melalui telefon tanpa perlu ke kenderaan.

“Penggunaan aplikasi ini dapat memudahkan pengguna di lokasi terbabit dan ini juga mengambil kira perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Prihatin terhadap pengguna yang kurang mahir dalam penggunaan teknologi dan aplikasi telefon pintar, Zazali berkata, pembayaran menggunakan kaedah kupon masih dikekalkan.

“Kupon boleh dibeli melalui ejen yang dilantik oleh syarikat pengendali. Selain itu, kupon parkir juga dijual di pondok letak kereta sedia ada di lokasi terbabit,” katanya.

Kawasan yang dikenal pasti menyediakan sistem bayaran parkir menggunakan aplikasi telefon pintar dan kupon ialah tempat letak kereta di Pusat Bandar Seremban, Jalan Rasah, Jalan Tuanku Antah, Jalan Zaaba, Jalan Gan Tam, Jalan Wong Yik Tong, Betaria, Taman AST, Jalan Zamrud dan dua penambahan lokasi baharu iaitu Oakland dan Seremban 2.

“Bagi lokasi di Kemayan Square, Senawang dan Millenia Square, sistem lama iaitu sistem letak kereta bermeter, kad pintar dan syiling masih dikekalkan,” katanya.

Berita Harian X