Jumaat, 28 Disember 2018 | 3:22pm
Bandar bersejarah Taiping diiktiraf sebagai antara 100 destinasi mampan 2018.
Bandar bersejarah Taiping diiktiraf sebagai antara 100 destinasi mampan 2018.

Taiping tersenarai antara 100 destinasi mampan 2018

IPOH: Selepas bandar raya Ipoh tersenarai sebagai antara 10 bandar percutian terbaik pada 2017, kini bandar bersejarah Taiping pula diiktiraf sebagai antara 100 destinasi mampan 2018 oleh Green Destinations.

Senarai ‘2018 Sustainable Destination Top 100’ itu bagi mengiktiraf usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan industri pelancongan yang lebih bertanggungjawab terutama bagi kelestarian alam sekitar.

Green Destinations adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan usaha mewujudkan pelancongan lestari dan mengetuai kerjasama global pelbagai organisasi pakar, syarikat dan institusi akademik.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai pengiktirafan itu melalui e-mel pada 21 Disember lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff. - Arkib NSTP
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff. - Arkib NSTP

Beliau berkata, pihaknya mendaftar penyertaan secara dalam talian dengan urus setia anugerah iaitu Green Destinations pada awal 2018.

“Penyertaan anugerah ini adalah susulan cadangan seorang panel juri ASEAN Clean Tourist City Award yang melawat Taiping bagi tujuan penjurian untuk anugerah itu.

“Beliau yang juga seorang pegawai Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Warisan berpendapat Taiping mempunyai banyak kelebihan dan keunikan dari segi eko pelancongan dan penyertaan untuk mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa amat digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, MPT melengkapkan secara terperinci maklumat mengenai Taiping berserta bukti dokumen, gambar, video, bahan cetak dan promosi serta lain-lain maklumat yang perlu dikemukakan sebelum 15 Oktober lalu.

Katanya, pihaknya turut mengadakan beberapa sesi mesyuarat dan perbincangan dengan beberapa agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat, selaras dengan format anugerah berkenaan.

“Dalam pencalonan anugerah ini, MPT mengemukakan laporan dan input beberapa contoh kawasan yang lestari dan terkawal dari pembangunan yang berlebihan seperti Hutan Paya Laut Matang, Kampung Dew, Kuala Sepetang, Kuala Trong, Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping dan Night Safari serta Batu Kurau.

“Semua kawasan ini mempunyai kekuatan dari sudut pelancongan eko dan mampu menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat di samping berfungsi sebagai tapak warisan sejarah,” katanya.

Menurutnya, MPT sentiasa berusaha untuk menjadikan Taiping antara destinasi pelancongan tumpuan dan sentiasa ingin dikunjungi oleh masyarakat tempatan dan luar negara.

“Saya gembira dengan pencapaian yang membanggakan ini yang juga kejayaan bersama seluruh komuniti Taiping, agensi yang berusaha menjaga kelestarian daerah ini serta pegawai dan kakitangan MPT.

“Pengiktirafan ini adalah kali pertama diterima daripada anugerah yang berprestij dan bertaraf dunia,” katanya.

Berita Harian X