Isnin, 31 Disember 2018 | 3:28pm
CHOW Kon Yeow. - NSTP/Mikail Ong

Visi Penang2030 untuk semua rakyat

GEORGETOWN: Visi Penang2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar akan menjadi panduan serta hala tuju kerajaan negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata empat teras utama dalam visi terbabit akan dijadikan panduan bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan di bahagian pulau mahupun Seberang Perai.

Menurut beliau, semua golongan masyarakat dan sektor pembangunan akan dijanjikan kesaksamaan dan keseimbangan demi kelangsungan negeri tercinta ini.

“Kita bukan saja berusaha memelihara kehidupan sejahtera, malah turut mensasarkan untuk memperluaskan kemakmuran ekonomi supaya dapat dinikmati segenap lapisan rakyat di negeri ini.

“Malah, sejak 2010, kita sudah melancarkan inisiatif Cleaner, Greener Penang dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang hijau lagi bersih dan usaha berterusan diperlukan sehingga ia menjadi gaya hidup rakyat untuk lebih prihatin terhadap alam sekitar,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2019, hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang menguasai dunia masa kini, Pulau Pinang akan terus mengekalkan momentum sedia ada melalui pentas yang sudah disediakan untuk turut bersaing dalam dunia teknologi.

“Kerajaan negeri kini dalam pertimbangan dan cadangan untuk mewujudkan satu portfolio baru iaitu Transformasi Digital di bawah ketua menteri sendiri,” katanya.

Kon Yeow berkata dalam sektor perindustrian pula, Pulau Pinang mencatatkan rekod pelaburan yang memberangsangkan bagi 2018.

“Bagi separuh tahun pertama 2018, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.98 bilion. Daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang sebanyak RM716 juta, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM1.27 bilion.

“Kita berharap ekonomi dunia bertambah baik pada tahun depan, sekali gus melonjakkan kembali jumlah pelaburan masuk ke negeri ini,” katanya.

Berita Harian X