Jumaat, 4 Januari 2019 | 8:57pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Danial Saad

Kedudukan kewangan PP adalah baik - Kon Yeow

GEORGETOWN: Kedudukan kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang berada pada tahap yang baik dan sihat walaupun defisit tinggi, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata walaupun Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencatatkan defisit yang tinggi menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, ia tidak menjejaskan ekonomi negeri itu.

“Memang MBPP mengalami defisit pada 2017 tetapi ia disebabkan oleh projek di Jalan Bukit Kukus yang bernilai hampir RM300 juta dan projek terbabit adalah di bawah arahan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata sungguhpun berlaku defisit, kewangan MBPP masih berada dalam keadaan sihat berikutan pengumpulan caj pembangunan yang diperoleh menerusi pasaran hartanah yang memberangsangkan.

“Tahap kewangan MBPP sentiasa sihat kerana selain kutipan pintu cukai, sumber pendapatan utama lain adalah daripada kadar pembangunan pesat seperti caj pembangunan yang membantu membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan banyak projek,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata beliau optimis kerajaan negeri melalui MBPP mampu mengendalikan kewangan dengan lebih baik kerana mempunyai pasukan pentadbiran dan pengurusan yang cekap.

“Salah satu aspek yang ditekankan dalam Konvensyen PBT baru-baru ini adalah untuk memperkasakan ekonomi iaitu dengan meningkatkan pelaburan sumber dan kewangan. Itulah yang saya lihat di Pulau Pinang ini,” katanya.

Menurut laporan itu, MBPP mencatatkan defisit berjumlah RM98.61 juta pada 2017 iaitu meningkat sebanyak RM97.20 juta berbanding RM1.41 juta pada 2016. - BERNAMA

Berita Harian X