Isnin, 7 Januari 2019 | 12:38pm
Nadin Junianti Najiri, 25, melihat gambar suaminya bersama tiga anak dan ibu mertuanya, Zuana Laudiato, 54, ketika ditemui di rumah mereka di penempatan setinggan berhampiran Sim-Sim, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

`Bawa suami pulang segera jika benar diculik'

SANDAKAN: “Sejak suami hilang, kami tiada punca pendapatan. Mahu beli pakaian sekolah anak pun saya tak mampu,” luah Nadin Junianti Najiri, isteri nelayan yang dipercayai diculik di perairan Pegasus Reef di Kinabatangan, bulan lalu.

Nadin, 25, ketika dihubungi berkata, sudah lebih sebulan suaminya, Jari Abdullah, 34, hilang tanpa sebarang khabar menyebabkan dia buntu memikirkan nasib keluarganya.

Katanya, anak mereka, Jenny, 7, yang masih dalam proses pendaftaran untuk memasuki Tahun Satu belum mempunyai sebarang kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam.

“Siapa tak susah hati apabila suami hilang begitu sahaja. Anak pun selalu tertanya-tanya ke mana ayah mereka, mengapa terlalu lama pergi bekerja.

“Mujur ada jiran yang baik hati selalu memberi ikan untuk makanan kami seharian, dapatlah meneruskan hidup,” katanya sambil menambah tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga seorang lagi anak berusia setahun.

Disember lalu, Jari bersama dua nelayan warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang daripada bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef.

Sehari sebelum itu, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata ke atas bot tunda membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia di perairan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah kemudian mengesahkan ketiga-tiga nelayan berkenaan diculik dan seorang mangsa sudah menghubungi isterinya sehari selepas kejadian bagi memaklumkan dia diculik.

Bercerita lanjut, Nadin berkata, sehingga kini dia tidak menerima sebarang panggilan daripada suami mahupun penculik.

“Saya menaruh harapan tinggi agar suami selamat dan dapat dibawa pulang segera ke pangkuan keluarga jika benar diculik. Setiap hari saya tertunggu-tunggu panggilan, namun sehingga ke hari ini tiada khabar,” katanya.

Ditanya sama ada menerima bantuan daripada mana-mana pihak, Nadin berkata, dia cuma mendapat bantuan kewangan daripada pemilik kapal tempat suaminya bekerja tiga hari selepas suaminya hilang.

Berita Harian X