Selasa, 8 Januari 2019 | 7:54pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad - Foto Azhar Ramli
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad - Foto Azhar Ramli

Cukai Petak ganti Cukai Tanah di Wilayah Persekutuan tahun depan

KULA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperkenalkan Sistem Cukai Petak bagi menggantikan Sistem Cukai Tanah bermula 1 Januari tahun depan.

Menterinya, Khalid Samad, berkata sebelum ini ia sudah diguna pakai di Selangor manakala Pulau Pinang serta Melaka turut melaksanakan sistem cukai berkenaan tahun ini.

“Sistem Cukai Petak ini akan memberi manfaat dan kebebasan kepada pemilik di bangunan yang memiliki strata menguruskan bayaran masing-masing tanpa perlu bergantung kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Kami sudah pun membuat permohonan kepada kementerian berkaitan untuk memulakan pelaksanaan sistem cukai itu pada 1 Januari depan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan 2019 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang baharu dilantik, Datuk Seri Saripuddin Kasim serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk 11 ahli Parlimen, pihaknya bersetuju untuk membenarkan premis hiburan yang sebelum ini memiliki lesen operasi sehingga jam 3 atau 5 pagi, meneruskan perniagaan masing-masing.

Kata Khalid, secara keseluruhan, terdapat 672 pusat hiburan di ibu negara dan daripada jumlah itu, hanya 24 yang memiliki lesen operasi sehingga jam 5 pagi, semuanya beroperasi di tengah ibu kota.

“Manakala 149 lagi memiliki lesen untuk beroperasi sehingga jam 3 pagi dan pihak DBKL akan berbincang dengan pusat hiburan yang memiliki lesen sehingga jam 2 pagi supaya dapat menutup perniagaan pada jam 1 pagi seperti cadangan sebelum ini.

“Kita akan menguatkuasakan waktu tutup operasi tidak lama lagi supaya pemilik premis hiburan menepati peraturan dan syarat operasi yang ditetapkan,” katanya.

November lalu, Nor Hisham berkata, DBKL bercadang memendekkan waktu operasi pusat hiburan sehingga jam 1 pagi saja.

“Kita syorkan pusat hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 1 pagi saja kerana pelanggannya terdiri daripada orang tempatan, bukannya orang luar.

“Hanya beberapa pusat hiburan tertentu yang menjadi tumpuan warga asing akan dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 5 pagi,” katanya.

Berita Harian X