Rabu, 9 Januari 2019 | 4:46pm
MENTERI Besar, Aminuddin Harun. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Negeri Sembilan kaji kesan kenaikan tarif air

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji kesan kenaikan kadar tarif air seperti dicadangkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata sejak 18 tahun lalu, tiada kenaikan tarif air bagi kegunaan domestik namun Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik.

Namun, katanya, kos operasi semakin meningkat setiap tahun dan pihaknya bimbang jika tiada kenaikan tarif air, akan memberikan kesan kepada rakyat.

“Dalam mesyuarat yang dijalankan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan supaya kadar tarif air di negeri ini dinaikkan kepada RM12.40 bagi 20 meter padu berbanding ketika ini RM11 bagi jumlah sama.

“Kita menyambut baik cadangan itu tetapi belum membuat sebarang keputusan. Kita akan mewujudkan jawatankuasa bagi membuat kajian terperinci mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Malam tadi, media melaporkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, dilaporkan berkata kenaikan tarif air perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, ketika ini 52 peratus rakyat di negeri ini menggunakan air di bawah 20 meter padu dan pihaknya akan melihat keperluan untuk memberikan insentif sesuai atau sebaliknya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah lagi loji baharu di Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi di Jalan Pantai di sini, dalam usaha memastikan bekalan air di kawasan Seremban dan Nilai mencukupi pada masa akan datang.

Katanya, ketika ini proses pembinaan loji itu masih di peringkat rundingan namun pada tahun hadapan pihaknya akan mula mengeluarkan tender.

“Loji ini dijangka siap pada tahun 2022 dan mampu memenuhi keperluan bekalan air kepada penduduk di Seremban dan Nilai berikutan pembangunan yang semakin rancak dengan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0,” katanya.

Berita Harian X