Rabu, 9 Januari 2019 | 5:09pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media di pejabatnya di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Tarif air pasti akan naik - MB Perak

IPOH: Keseragaman kenaikan tarif air di seluruh negara perlu diseimbangkan supaya tiada pihak terutama rakyat dibebankan dengan kenaikan itu, namun ia pasti berlaku pada masa akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kenaikan tarif air pasti akan berlaku, namun bukan dalam masa terdekat kerana ia masih pada peringkat perbincangan dan kajian.

“Saya sudah diberi taklimat oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) lebih dua bulan lalu dan perkara ini (kenaikan tarif) dibangkitkan berkenaan dengan bagaimana keperluan untuk diseragamkan tarif air di seluruh negara.

“Namun, keputusan untuk menaikkan tarif ini akhirnya nanti akan dibuat melalui keputusan Kerajaan Negeri yang akan pertimbangkan segala perkara sebelum ia dibuat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, mengenai kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Ahmad Faizal berkata kerajaan perlu mengkaji secara mendalam perkara itu selain memberi pemahaman kepada semua rakyat bahawa sekiranya kenaikan tarif air perlu dilakukan, ia disebabkan keperluan bukannya untuk menyusahkan rakyat.

“Jika kenaikan tarif air berlaku, kita juga akan memastikan golongan yang memerlukan diberi pembelaan dan selain itu, pengguna domestik perlu kita didik supaya menghargai nilai air.

“Sama seperti pengumuman sebelum ini berkenaan logo kempen berhenti merokok di jersi pasukan bola sepak Perak, kita juga akan letak logo jimat air di jersi itu kerana saya berpandangan perkara ini, kalau tidak dibuat tahun ini, ia perlu dibuat di masa akan datang di mana tarif air tentunya perlu dinaikkan,” katanya.

Beliau memberi jaminan, kedua-dua logo berkenaan akan kelihatan menarik dan tidak akan memburukkan jersi pasukan kesayangannya itu.

Menurutnya, kenaikan tarif air untuk pengguna domestik hanya pada kadar minimum manakala bagi pengguna industri pula, ia mengikut kategori tertentu membabitkan industri yang kadar penggunaan airnya tinggi dan kenaikan itulah yang ingin diseragamkan dengan semua negeri.

“Ideanya adalah untuk buat keseragaman di semua negeri, namun perlu diseimbangkan supaya dapat menarik pelabur industri, selain memastikan pengguna domestik, sekolah dan rumah ibadat tidak dibebankan dengan kenaikan.

“Tarif ini macam mana pun mesti naik, tetapi agak mencabar macam mana kita ingin buat tanpa membebankan industri dan rakyat, namun kerajaan perlu cari jalan supaya semua pihak tidak terkesan dengan perkara ini,” katanya.

Berita Harian X