Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang. - Foto Melvin Joni

Kembalikan autonomi pendidikan dan kesihatan Sarawak

KUCHING: Sudah tiba masa untuk Sarawak mendapatkan semula sepenuhnya kuasa autonomi terhadap pendidikan dan kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, berkata Sarawak berupaya membangunkan pendidikan dan kesihatan dengan baik, tanpa perlu bergantung dengan Kerajaan Persekutuan untuk menguruskannya.

“Kita mempunyai guru yang baik, boleh mengajar anak-anak kita dan kita juga mempunyai doktor serta pakar yang terbaik. Sebenarnya kita mempunyai ramai orang yang berbakat di Sarawak dalam kedua-dua bidang itu dan kita pasti boleh menjaga Sarawak dengan lebih baik daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Khere Chiang berkata, selama ini Kerajaan Persekutuan termasuk Pakatan Harapan ketika ini gagal membantu Sarawak dalam pendidikan dan kesihatan, menyebabkan negeri ini mempunyai banyak sekolah usang serta tidak mempunyai kemudahan pendidikan yang baik.

“Begitu juga dalam bidang kesihatan apabila klinik dan hospital kerajaan masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat sama ada di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Khere Chiang menegaskan demikian bagi membalas kenyataan Mohd Aziz Isa daripada DAP Sarawak, yang menuduh beliau tidak menunjukkan empati terhadap penyelenggaraan sekolah kerajaan.

Beliau berkata, Aziz seharusnya sedar bahawa hal ehwal pendidikan di Sarawak adalah di bawah kewajipan dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan meraih RM15 bilion daripada Sarawak setiap tahun dari minyak dan gas, tetapi mereka terlalu sukar hendak memberikan peruntukan kepada kita.

“Kita memang diperlakukan seperti ‘anak lelaki yang tidak diingini’. Kenapa mereka tidak menyalurkan wang yang mereka ambil dari Sarawak untuk sekolah kita? Ini bercakap mengenai empati pula,” katanya.

Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata, walaupun sekolah di Sarawak adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, beliau tidak pernah mengabaikan kebajikan sekolah dalam kawasan yang diwakilinya.

“Sejak 2017, saya dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Batu Kawa, Datuk Dr Sim Kui Hian menyalurkan sebanyak RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Garland untuk menyelenggara dan menjalankan aktiviti sekolah.

“Pada 2017, saya juga telah menyumbang RM300,000 menerusi dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) saya untuk membantu SK Garland menaik taraf perparitan serta jalan ke sekolah dan adalah tidak wajar untuk Aziz menuduh saya tidak prihatin kepada sekolah di kawasan saya,” katanya.

Berita Harian X