Isnin, 14 Januari 2019 | 12:18am
TINJAUAN aktiviti peniaga ikan di Pasar Chow Kit. - Foto Aswadi Alias

Peruncit dakwa pembekal yang kawal harga barang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta lebih agresif memantau pembekal dan pemborong kerana merekalah yang menentukan harga barang di pasaran.

Kalangan peniaga yang ditemui BH di Pasar Chow Kit dan Keramat mendakwa, harga jualan barangan adalah ditentukan pembekal dan pemborong yang mengawal pasaran.

Peniaga ikan di pasar Keramat, Sabry Mohd, 45, berkata orang ramai tidak boleh menyalahkan peniaga runcit kerana mereka membeli daripada pembekal atau pemborong pada harga tinggi.

PENIAGA ikan, Sabry Mohd - Foto Aswadi Alias

Katanya sebagai contoh, sekiranya sekilogram (kg) ikan sardin dibeli daripada pemborong pada harga RM11 sekilo, mereka perlu menjual pada harga RM12 sekilo.

“Kalau ditanya kepada pemborong, mereka akan memberikan pelbagai alasan seperti harga naik akibat cuaca atau musim. Sebaliknya kami hanya ada alasan sebab pemborong menjual pada harga tinggi.

“Justeru, kalau kami membeli pada harga tinggi, memang sukar untuk kami menurunkan harga,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan BH mendapati, harga ikan tongkol naik dari RM9 satu kilogram (kg) kepada RM10 manakala ikan kembung, sardin, bawal, tenggiri, kerisi dan siakap kini dijual pada harga antara RM8 hingga RM17 setiap kg.

Mengenai peranan pegawai pemantau harga, Sabry berkata, pegawai berkenaan kerap memantau, tetapi katanya kerja pemantauan di pasar lebih mudah berbanding di pasar borong.

Justeru katanya, beliau menyarankan pihak berwajib melakukan penyamaran kerana maklumat harga lebih tepat mampu diperoleh berbanding sekiranya pegawai melakukan pemantauan dengan memakai seragam KPDNHEP.

Pandangan sama diberikan peniaga sayur, Fendi Rajuman, 40.

Katanya, sebagai peniaga mereka hanya boleh ‘bermain’ dengan kategori gred sayur bagi mendapatkan harga lebih rendah yang mampu dibeli pengguna.

Sebagai contoh katanya, tomato gred B dengan harga RM6 sekilo saja laris, tetapi tomato gred A yang ditawarkan pada harga lebih RM10 sekilogram tidak laris.

“Adalah tidak adil peniaga di pasar seperti kami dimarahi pelanggan, kerana tidak menurunkan harga, sedangkan kami memperoleh bekalan daripada pemborong,” katanya.

Peniaga ayam dan daging, Halimaton Osman, 50, berkata harga ditawarkan kepada pengguna banyak bergantung kepada harga ditetapkan pembekal.

Katanya, beliau tidak pernah mengenakan harga yang tinggi kerana pemantau harga akan sentiasa membuat tinjauan sekurang-kurangnya dua kali seminggu di pasar Chow Kit.

“Kami tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya. Malah kalau dilihat hampir semua daripada kami menjual ayam dan daging pada harga sama,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Rozita Anuar, 50 merayu kerajaan untuk memastikan harga barangan basah tidak keterlaluan.

Katanya, kalau dibandingkan tahun lalu sewaktu ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), barangan tidak terlalu tinggi tetapi kini setiap barangan basah meningkat antara RM1 hingga RM2 ringgit.

“Saya ingatkan harga sekarang makin rendah tetapi tidak juga. Ada peniaga mengatakan produk mereka lebih berkualiti sebab itu dijual sedikit tinggi, tetapi pada pandangan saya, tidak banyak berbeza.

“Saya berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan harga barangan basah tidak membebankan pengguna,” katanya.

Pengguna, Ismail Suyot, 57, berkata menerusi pemantauan harga dilakukan, beliau mengakui harga ditawarkan pasar basah tidak standard.

Katanya, peniaga memberikan pelbagai alasan tetapi pengguna tiada banyak pilihan sama ada membeli atau tidak, bergantung kepada kewangan masing-masing.

Berita Harian X