Rabu, 16 Januari 2019 | 4:44pm
Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar memeriksa kawasan perumahan di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping yang memelihara anjing di rumah berikutan Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila selepas kawasan itu didapati positif wabak berkenaan. - Foto Muhaizan Yahya
Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar memeriksa kawasan perumahan di Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping yang memelihara anjing di rumah berikutan Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies atau anjing gila selepas kawasan itu didapati positif wabak berkenaan. - Foto Muhaizan Yahya

JPV larang pemilik bawa keluar anjing peliharaan

IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak melarang semua pemilik anjing di Taiping dan Bukit Gantang membawa keluar haiwan peliharaan mereka itu dari daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) tanpa kebenaran.

Ia susulan keputusan kerajaan negeri mewartakan daerah berkenaan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies berkuatkuasa kelmarin.

Pengarah JPV negeri, Dr Ahmad Shafri Hassan, berkata beberapa langkah perlu dipatuhi apabila sesuatu kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit rabies.

Katanya, antara yang perlu dipatuhi adalah tidak boleh membawa keluar mana-mana anjing dari mukim Taiping dan Bukit Gantang tanpa kebenaran daripada Pengarah JPV negeri.

“Pemilik atau mana-mana orang yang bertanggungjawab terhadap anjing dalam kedua-dua mukim berkenaan hendaklah menyimpan anjing di bawah kawalan ketat dengan mengurung dalam kawasan tertutup yang tidak membolehkan haiwan itu terlepas.

“Pemilik juga perlu mengikat haiwan berkenaan dengan selamat dan mengikat kuat dengan rantai, tali pintal atau kulit pada leher,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Ahmad Shafri berkata, mana-mana anjing yang ditemui berada dalam kawasan jangkitan tanpa mematuhi langkah-langkah ditetapkan akan berdepan risiko dilupuskan.

Beliau berkata, seperti yang termaktub dalam Perintah Pemvaksinan Pencegahan Penyakit Anjing Gila, semua anjing berumur tiga bulan dan ke atas yang berada dalam kawasan kedua-dua mukim itu hendaklah diserahkan kepada JPV untuk disuntik vaksin.

Katanya, mengikut Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) dan (Pindaan) 2013, mana-mana pemilik anjing yang didapati tidak mematuhi langkah kawalan itu boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau hukuman penjara sehingga tiga bulan.

“JPV berharap kerjasama orang ramai di kedua-dua mukim ini untuk memastikan anjing peliharaan mereka mendapat suntikan vaksin rabies kerana penyakit ini boleh merebak daripada haiwan kepada manusia melalui air liur akibat gigitan atau terkena pada luka yang terbuka.

“Oleh itu, semua pemilik diminta mengurung anjing dan kucing peliharaan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya gigitan daripada anjing berkeliaran yang dikhuatiri sudah dijangkiti rabies.

“Buat masa ini, elakkan daripada mendekati anjing berkeliaran, sekiranya berlaku gigitan, bersihkan luka dengan sabun dan jangan berlengah untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan,” katanya.

Dr Ahmad Shafri, berkata setakat ini empat kes positif rabies dikesan di kawasan Taiping iaitu satu kes dikesan melalui ujian terhadap seekor anjing yang menggigit manusia manakala tiga lagi kes dikesan melalui ujian terhadap anjing yang berkeliaran di kawasan sekitar kes gigitan itu berlaku.

Katanya, sehubungan itu, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau JPV sekiranya terdapat anjing berkeliaran di sekitar kediaman masing-masing ataupun mana-mana kawasan.

Menurutnya, orang ramai yang ingin membuat aduan dan pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah LMS di talian 05-8072703.

Berita Harian X