Khamis, 17 Januari 2019 | 10:07am
Kerajaan Sarawak mencadangkan agar ujian psikometrik diwajibkan ke atas pengasuh di taska berdaftar. - Foto hiasan

Sarawak cadang ujian psikometrik pengasuh

KUCHING: Kerajaan Sarawak mencadangkan agar ujian psikometrik diwajibkan ke atas pengasuh di taska berdaftar, termasuk pengasuh persendirian bagi memastikan mereka layak diberi amanah menjaga bayi serta kanak-kanak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif itu penting demi menjamin kesesuaian mereka melaksanakan tugas, selain memastikan nyawa bayi dan kanak-kanak tidak terancam.

“Untuk merekrut guru termasuk guru tadika, pemohon diwajibkan menduduki ujian psikometrik untuk melihat kesesuaian sikap dan kecenderungan menjadi seorang guru. Bagaimanapun, ia bukanlah ujian psikologi.

“Saya merasakan sudah tiba masanya pelaksanaan ujian psikometrik dilaksanakan kepada pengasuh di taska berdaftar dan ia perlu diperluaskan kepada pengasuh individu,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan Fatimah sebagai mengulas kematian bayi lelaki, Aariz Harraz Zahin Azman, 9 bulan, dipercayai didera pengasuhnya, meninggal dunia di Hospital Sibu, Ahad lalu.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir, 11.55 pagi, di pangkuan ibunya selepas mesin bantuan hayatnya ditutup pada 11:30 pagi.

Bayi itu menerima rawatan sejak Isnin minggu lalu dan disahkan ‘mati otak’ pada 9.10 pagi, pada Sabtu, oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Dalam kejadian itu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat, dipercayai didera pengasuh yang mengambil upah.

Berita Harian X