Khamis, 24 Januari 2019 | 2:52pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) diiringi Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob (kanan) bertemu pelajar yang menerima bantuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah dan Bantuan Balik Sekolah Menengah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto Khairull Azry Bidin

Susun semula kandungan pendidikan vokasional, teknikal - KM

KOTA KINABALU: Penyusunan semula kandungan pendidikan, khususnya vokasional dan teknikal perlu bagi melahirkan pelajar yang mampu memenuhi keperluan pasaran industri di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata atas sebab itu kerajaan negeri mewujudkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi sebaik mengambil alih pentadbiran negeri bagi menambah peluang dalam bidang vokasional dan teknikal di negeri ini.

“Ini penting dalam usaha memenuhi keperluan industri kerana Sabah mempunyai banyak sumber minyak dan gas, sekali gus memerlukan lebih ramai pakar.

“Justeru, penyusunan semula sistem kandungan pendidikan seperti vokasional dan sekolah teknikal di negeri ini, perlu dibuat bagi memastikan ia bersesuaian, sekali gus memenuhi pasaran sedia ada,” katanya pada majlis penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah dan Bantuan Balik Sekolah Menengah, di sini, hari ini.


Sebahagian pelajar sekolah yang menerima bantuan ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah dan Bantuan Balik Sekolah Menengah di Universiti Malaysia Sabah (UMS). - Foto Khairull Azry Bidin

Yang turut hadir, Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk KY Mustafa; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk D Kamarudin D Mudin.

Bantuan Pendidikan One-Off sumbangan Yayasan Sabah sebanyak RM1,000 seorang diberikan kepada 1,000 pelajar UMS, manakala RM200 kepada 300 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dari 10 sekolah menengah sekitar daerah ini membabitkan nilai keseluruhan RM1.06 juta.

Terdahulu, Jamalul Kiram berkata, Kumpulan Yayasan Sabah beriltizam terus menyokong usaha kerajaan negeri menyediakan peluang pendidikan kepada lebih ramai anak negeri ini.

“Jika kita berjaya melahirkan generasi berpendidikan pada masa akan datang, sudah pasti Sabah akan dipandu oleh mereka yang berilmu dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, sejak tahun 1968 sehingga kini, seramai 19,093 pelajar menerima manfaat daripada tajaan biasiswa dan dermasiswa pengajian tinggi Yayasan Sabah dalam pelbagai bidang ilmu.

Berita Harian X