Khamis, 24 Januari 2019 | 6:07pm
Penduduk Mohd Mussahar Ibrahim (kiri) melihat kerosakan bahagian dapur rumahnya selepas kejadian ombak dan angin kencang malam tadi di Kampung Nenasi Pantai. - Foto Mohd Rafi Mamat
Penduduk Mohd Mussahar Ibrahim (kiri) melihat kerosakan bahagian dapur rumahnya selepas kejadian ombak dan angin kencang malam tadi di Kampung Nenasi Pantai. - Foto Mohd Rafi Mamat

Dapur dikhuatiri runtuh kena ombak

PEKAN: Fenomena air laut pasang besar dan angin kencang, malam tadi, menyebabkan hakisan pantai yang teruk berlaku di Kampung Nenasi Pantai, dekat sini, hingga merosakkan rumah penduduk.

Turut menerima kesan dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu ialah jalan berturap sepanjang lebih 100 meter di pesisir pantai berkenaan.

Penduduk, Mohd Mussahar Ibrahim, 30, berkata fenomena air pasang besar serta angin kencang yang menyebabkan ombak kuat itu dikatakan berlarutan selama tiga jam sebelum ia berakhir kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, dia hanya mampu melihat ombak besar menghempas bahagian dapur rumah papan tempat dia sekeluarga berteduh lebih 30 tahun lalu.

“Angin kencang menyebabkan ombak besar dan pada waktu sama fenomena air laut pasang besar berlaku serentak. Kejadian tiga serangkai ini jarang berlaku di sini. Bahagian dapur rumah saya kini hanya menunggu masa untuk runtuh disebabkan hakisan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Mussahar yang juga nelayan berkata, tahun lalu, guni pasir digunakan bagi menahan hakisan namun usaha itu tidak dapat bertahan lama apabila ia kini pecah dan tidak lagi dapat menghalang ombak.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahagian dapur rumah saya termasuk jalan berturap akan runtuh sepenuhnya malam ini jika fenomena air pasang, ombak besar dan angin kencang terus berlaku.

“Saya kini hanya mampu berdoa supaya kejadian malam tadi tidak berulang bagi mengelak lebih banyak harta benda penduduk dan kemudahan awam musnah,” katanya.

Beliau juga berkata, hakisan pesisir pantai itu turut menyebabkan saluran paip yang membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan pantai kini berada di permukaan pasir hingga membimbangkan penduduk.

Pengusaha chalet di Kampung Tanjung Batu, di sini, Edde Firdaus Abd Aziz, 39, berharap kerajaan segera melaksanakan projek benteng atau pemecah ombak seperti dijanjikan sebelum ini.

“Tidak mustahil hakisan pantai yang lebih teruk akan berlaku disebabkan angin kencang, selain perubahan cuaca walaupun tanpa fenomena air pasar besar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif, berkata pihaknya sudah membuat permohonan projek pemecah ombak daripada Kerajaan Pusat bagi mengatasi kejadian hakisan, tahun lalu.

“Saya harap permohonan terbabit dapat segera diluluskan bagi memberi peluang agensi bertanggungjawab melakukan kajian, seterusnya tindakan sesuai untuk mengatasi masalah terbabit.

“Hakisan pantai yang serius berlaku setiap tahun di daerah ini berpunca daripada beberapa faktor seperti angin kencang dan fenomena air laut pasang besar,” katanya.

Berita Harian X