Sabtu, 26 Januari 2019 | 4:45pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - NSTP/Rosela Ismail

Kerajaan Pusat selaras dengan kerajaan negeri atasi masalah

KULAI: Kerajaan Pusat akan mengadakan penyelarasan dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor bagi mengatasi pelbagai masalah penduduk luar bandar dan mengelak pertindihan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pihaknya menerima banyak maklum balas berkaitan pelbagai masalah termasuk bekalan air dan elektrik, pembinaan balai raya serta jalan pintas.

Bagaimanapun, katanya, beberapa masalah perlu dibincang dengan kerajaan negeri sebelum ia boleh diselesaikan.

Menurutnya, hasil lawatan kerja sehari di Kulai hari ini, beliau maklum dengan beberapa permintaan dan buat masa ini bersetuju membantu menyelesaikan empat masalah.

“Pertama pembinaan jalan kampung sepanjang 1.6 kilometer, bekalan elektrik dan air, baik pulih dewan dan balai raya serta tabika baharu.

“Saya dapati semua permohonan untuk kepentingan orang ramai seperti tabika dan dewan.

“Kami tiada masalah untuk membantu, namun akan membuat penyelarasan bagi mengelak pertindihan,” katanya pada sidang media di Program Semarak Kasih di Dewan FELDA Bukit Permai di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika berucap, beliau berkata kementerian sentiasa bergerak cergas dalam membantu masyarakat luar bandar dan sepanjang tahun lalu, menstruktur semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bersifat lebih inklusif kepada semua pihak.

Selain dari itu, katanya, tahun lalu pihaknya melancarkan beberapa program dan inisiatif; seperti Program Desa Harapan, INOTEKDESA, dan Pemerkasaan Pusat Komuniti Desa (PKD). ​

“Kami juga melancarkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018 – 2023 dengan tema ‘Luar Bandar Sejahtera’, mengetengahkan Enam Teras Utama dalam agenda utama pembangunan luar bandar bertujuan membawa masyarakat luar bandar mara ke hadapan.

“Alhamdulillah, agihan peruntukan diluluskan kepada kesemua enam teras merangkumi Prasarana dan Kesejahteraan Rakyat, Ekonomi, Keusahawanan, Modal Insan, Wanita dan Sistem Penyampaian.

“Kesemua teras dirangka bagi memacu arus pembangunan masyarakat luar bandar, bagi memartabatkan ekonomi luar bandar kerana kerajaan PH sedar penduduk luar bandar tidak seharusnya terpinggir untuk bersama-sama menghadapi Revolusi Industri Keempat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kulai, Mohd Khir Johari Salleh, berkata nama Kampung Tersusun Murni Jaya akan ditukar kepada Kampung Semangat Bersatu.

“Menteri meluluskan permohonan membuat jalan kampung, Kampung Tersusun Murni Jaya sepanjang 1.6 Kilometer, kedua membantu menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air di kampung sama.

“Selain itu, beliau setuju membaik pulih dewan dan balai raya serta menyewa dua premis untuk dijadikan Tabika Kemas di Kampung Pertanian dan flet Bandar Putra,” katanya.

Berita Harian X