Ahad, 27 Januari 2019 | 10:33am
RAMLI bertemu dengan orang ramai ketika tinjauan mesra di Pasar Pagi Tanah Rata. - NSTP/Aizuddin Saad
RAMLI bertemu dengan orang ramai ketika tinjauan mesra di Pasar Pagi Tanah Rata. - NSTP/Aizuddin Saad

Masa untuk beri khidmat kepada rakyat - Ramli

CAMERON HIGHLANDS: “Keutamaan saya ketika ini adalah memberikan perkhidmatan kepada semua warga Cameron Highlands,” kata Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baru dipilih, Ramli Mohd Nor.

Katanya, selepas penduduk Cameron Highlands memilih dan menyatakan keyakinan mereka, kini adalah masa untuk beliau mula bekerja.

“Kerja sudah pun bermula dan kini saya mempunyai seramai lebih kurang 30,000 ‘bos’ (pengundi) yang saya perlu berikan khidmat kepada mereka.

“Saya nak lihat dan selesaikan masalah mereka baik dari segi kemudahan awam, pengangkutan awam, kesesakan lalu lintas dan pembangunan ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pasar Pagi Tanah Rata di sini, hari ini.

Ia adalah lawatan pertama Ramli selepas secara rasmi dipilih sebagai Ahli Parlimen semalam.

Mengenai sejauh mana sokongan pengundi Cina terhadapnya pada pilihan raya kecil itu, Ramli berkata perkara itu bukan lagi isu kerana dia sudah pun dipilih sebagai Ahli Parlimen.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya perlu berkhidmat kepada mereka sama ada mereka menyokong saya atau pun tidak.

“Tak banyak yang saya boleh katakan mengenainya, tetapi sebagai Ahli Parlimen yang dipilih tanggungjawab utama adalah memberikan perkhidmatan terbaik tidak kira siapa pun mereka,” katanya.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam, menyaksikan Ramli menang dengan majoriti 3,238 undi selepas meraih 12,038 undi, menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.

Manogaran yang tiga kali bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini memperoleh 8,800 undi, sementara Sallehudin (314 undi), dan 276 undi diperoleh Seng Yee.

Peratus keluar mengundi pula ialah 68.79 peratus, sementara undi ditolak berjumlah 568 undi.

Ramli turut mencipta sejarah sebagai wakil tunggal mewakili masyarakat Orang Asli di Dewan Rakyat.

Berita Harian X