Ahad, 27 Januari 2019 | 3:02pm
Mohamed Shafie (tengah) melancarkan tabung bagi mengumpul dana membeli sebuah bas untuk kegunaan pelajar IKMAL. - NSTP/Samadi Ahmad

IKMAL kumpul dana beli bas sekolah

PUTRAJAYA: Alumni Sekolah Menengah Agama Persekutuan (IKMAL), Labu, Negeri Sembilan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal dan pelancaran tabung bagi mengumpul dana membeli sebuah bas untuk kegunaan pelajar sekolah itu.

Program dihadiri 800 alumni IKMAL itu berjaya mengumpul dana RM50,000 yang akan digunakan untuk menjaga kebajikan pelajar dan menjana pendapatan sekolah tanpa bergantung kepada pembiayaan kerajaan.

Presiden IKMAL, Saiful Bahrin Abu, berkata program makan malam dan pelancaran tabung itu diadakan bersempena ulang tahun ke-20 IKMAL.

“Kos pembelian bas adalah sebanyak RM800,000 dan IKMAL menjangka akan menyerahkan bas berkenaan pada awal 2020 bergantung kepada jumlah dana yang disumbangkan ahli termasuk pihak luar,” katanya kepada media di sini malam tadi.

Majlis pelancaran tabung disempurnakan mantan pengetua pertama Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Mohamed Shafie dan turut dihadiri seramai 112 guru dan juga bekas guru sekolah berkenaan.

IKMAL yang ditubuhkan pada 1999 kini dianggotai lebih 1,500 ahli bermula dari pelajar SMAP di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, yang kemudian berpindah ke Labu pada 1987.

Saiful berkata, IKMAL bukan saja berfungsi sebagai alumni, malah turut menjadi wadah dan penghubung bagi meringankan beban sekolah serta membantu pelajar kurang berkemampuan melalui bantuan derma yang disumbangkan setiap tahun.

Menurutnya, program yang dirangka selama empat bulan itu mendapat sambutan menggalakkan dan berharap lebih ramai lagi alumni dapat dikumpulkan pada masa hadapan.

“Majlis makan malam ini adalah untuk menyambung silaturahim antara bekas murid, bekas guru dan guru yang sedang berkhidmat di sekolah ini,” katanya.

Berita Harian X