Ahad, 27 Januari 2019 | 3:51pm
Khalid menunjukkan sebahagian batu nisan jenis batu laterit yang terdapat di Kampung Duyong. - NSTP/Mohd Hilmie Hussin

Nisan kubur lama dipindah tanpa pengetahuan

MELAKA: Kira-kira 10 pasang batu nisan termasuk diperbuat daripada batu laterit di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong di sini dipercayai dipindahkan pihak pemaju Khamis lalu tanpa dimaklumkan kepada pihak berwajib.

Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD) tidak menolak kemungkinan penemuan batu nisan terbabit ada kaitan dengan beberapa projek pembesaran jalan dan pembinaan Hang Tuah Centre, di sini.

Pengerusinya, Khalid Hussin, berkata ribuan kubur lama berusia lebih 500 tahun yang menggunakan batu jenis laterit dipercayai wujud di sekitar Duyong sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurutnya, sebahagian daripada kubur itu lenyap dan mungkin dialihkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan berkenaan.

“Ke mana perginya sebahagian batu nisan berkenaan sedangkan banyak kawasan pembangunan dan pembesaran jalan di situ asalnya adalah kubur lama.

“Saya hendak bertanya ke mana pihak kontraktor letakkan semua batu nisan laterit ini selepas selesainya semua projek. Adakah mereka letakkan di satu tempat atau mereka buang begitu saja?” katanya, ketika ditemui hari ini.

Jelasnya lagi, Kampung Duyong sudah lama wujud, dipercayai sejak tahun 1400 lagi ketika era Kesultanan Melayu Melaka, malah pahlawan Melayu terkenal, Hang Tuah turut berasal dari kampung terbabit.

“Bapa Hang Tuah, iaitu Hang Mahmud, mula membuka perkampungan ini sejak tahun 1440 lagi. Justeru, tidak mustahil ramai kaum kerabatnya yang dikuburkan di sini.

“Saya berharap, agensi berkenaan seperti PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) dan Jabatan Warisan membuat penandaan terhadap kuburan lama terbabit kerana biarpun tiada bukti hitam putih mengatakan sesetengah kuburan itu milik pembesar tertentu, sekurang-kurangnya ia diperoleh dari bukti mulut orang lama-lama,” katanya.

Tambah beliau, antara kubur pembesar negeri yang didakwa berada di Kampung Duyong termasuk Bendahara Tun Perak, Tun Kudu, Tun Puteh, Tun Matang, Tun Kajang, Tun Kola, Tun Bahru, Hang Nadim dan lain-lain.

NSTP Khamis lalu melaporkan kira-kira 10 pasang batu nisan termasuk sebahagiannya diperbuat dari batu laterit yang dipercayai digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui dalam keadaan berselerak di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, di sini.

Seorang penduduk mendakwa menemuinya ketika membersihkan kawasan tanah semak di hadapan rumah bagi persediaan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya.

Dalam pada itu, Khalid menawarkan semua batu nisan yang ditemui itu ditanam semula di satu kawasan kuburan lama berhampiran rumahnya di Kampung Duyong.

Berita Harian X