Ahad, 27 Januari 2019 | 9:07pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melihat meriam dan mortar zaman penjajahan British yang ditemui oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia di tapak Kota Cornwalis. - Foto BERNAMA

Meriam, mortar berusia lebih 200 tahun ditemukan di Kota Cornwallis

GEORGETOWN: Selaras meriam dan selaras mortar ditemukan semasa kerja-kerja pengorekan dijalankan pada struktur pertahanan luar dan terusan yang mengelilingi Kota Cornwallis, di sini akan melengkapkan data sejarah awal mengenai kota lama itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata kerja-kerja pengorekan pada Jumaat lalu di tapak berkenaan yang dilakukan oleh 12 penyelidik menemukan selaras meriam dan selaras mortar yang berusia lebih 200 tahun.

SISWAZAH Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM menunjukkan artifak zaman penjajahan British selepas menemui meriam dan mortar pada Jumaat lepas semasa kerja-kerja pemuliharaan. - Foto BERNAMA

Menurutnya, penemuan meriam dan mortar itu adalah bersebelahan satu sama lain dan akan dihantar ke USM untuk pemuliharaan dan analisis selanjutnya.

“Hasil penemuan meriam dan mortar ini bakal melengkapkan data sejarah awal di Kota Cornwallis yang dibina oleh British dan diduduki oleh Jepun,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Beliau berkata mengikut rekod sejarah awal Pulau Pinang, di tapak Kota Cornwallis ini mempunyai lebih 100 meriam dan lebih kurang 10 mortar yang masih tertanam di bawah tanah.

“Kerja-kerja pengorekan yang bermula hujung tahun lalu akan diteruskan sehingga November tahun ini bagi membersihkan tempat ini untuk menempatkan satu galeri sejarah,” katanya.

Beliau berkata USM sudah mendapat geran RM49,000 daripada kerajaan negeri bagi menjalankan kerja-kerja pengorekan di tapak itu selama setahun.

Kerja-kerja pengorekan itu diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara dan ia sebahagian daripada usaha untuk memulihkan pertahanan dalam bentuk terusan yang mengelilingi kota berusia 232 tahun itu. Terusan itu telah dikambus pada 1922. - BERNAMA

Berita Harian X