Selasa, 29 Januari 2019 | 4:34pm
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Perhimpunan Tahunan JBPM Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat JBPM Sabah, hari ini. - Foto Edmund Samunting
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Perhimpunan Tahunan JBPM Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat JBPM Sabah, hari ini. - Foto Edmund Samunting

Sabah perlu 40 balai bomba baharu

KOTA KINABALU: Sabah masih memerlukan sekurang-kurangnya 40 balai bomba baharu di seluruh negeri bagi memperbaiki masa tindak balas ditetapkan mengikut indeks prestasi utama (KPI) iaitu bawah 10 minit.

Mengikut kajian jabatan itu menggunakan ‘Smart Maps’, sebanyak 23 balai bomba sedia ada di Sabah tidak mencukupi disebabkan jarak antara balai dan lokasi berpotensi berlaku kecemasan amat jauh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata setakat ini, masa tindak balas untuk negeri ini mencatatkan purata 17.5 minit dengan antara cabaran dihadapi adalah keadaan kemudahan jalan kurang baik, selain jarak balai bomba yang jauh.

“Antara faktor lain ialah keluasan muka bumi Sabah, tambahan lagi banyak pulau dan kawasan pedalaman masih tidak mempunyai balai bomba.

“Setakat ini, Sabah hanya mempunyai 23 balai bomba namun kita sedar pembinaan balai bomba baharu memerlukan kos yang tinggi,” katanya selepas menyempurnakan Perhimpunan Tahunan JBPM Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat JBPM Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, masa berkenaan sentiasa boleh diperbaiki kerana setiap tahun kerajaan memberi peruntukan untuk membina atau menaik taraf balai bomba.

Katanya, tahun ini, dua balai bomba baharu iaitu di Pitas dan Sook akan beroperasi dan sudah tentu ia akan meningkatkan masa tindak balas JBPM.

Pada masa sama, katanya, JBPM Sabah mengambil inisiatif dengan kerjasama masyarakat setempat iaitu pewujudan 30 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 180 Pasukan Bomba Komuniti (PBK) di kawasan berisiko tinggi di seluruh negeri.

Katanya, banyak lagi kawasan di negeri ini yang tidak mempunyai balai bomba termasuk Pulau Banggi, Paitan dan Kalabakan.

“Seperti kebakaran di Pulau Banggi, baru-baru ini, kita terpaksa menggunakan bot untuk menghantar bantuan memadam kebakaran dan ini menyebabkan kelewatan masa tindak balas,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X