Selasa, 29 Januari 2019 | 9:06pm
KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan. - Foto NSTP/Imran Makhzan
KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan. - Foto NSTP/Imran Makhzan

Terengganu dijangka sesak Tahun Baharu Cina

MARANG: Sebanyak 150,000 kenderaan dijangka masuk ke Terengganu sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina dengan peningkatan tiga kali ganda berbanding hari biasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, berkata aliran trafik dijangka sesak pada 2, 3, 8 dan 9 Februari ini susulan penambahan kenderaan yang lebih banyak berbanding hari biasa hanya sekitar 50,000 kenderaan sahaja.

“Di Kuala Terengganu, kita menjangkakan kesesakan di Jalan Sultan Mohamad (Gong Kapas); Jalan Tengku Mizan (Bukit Besar menghala Jambatan Sultan Mahmud), Bulatan Batu 6 menghala ke Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu (laluan keluar).

“Sementara di Besut, kesesakan dijangka berlaku di Pekan Jertih (laluan utama ke Kota Bharu) manakala di Setiu, ia membabitkan persimpangan Chalok (laluan utama) dan persimpangan Guntong Luar.

“Bagi memastikan kelancaran trafik, anggota trafik akan memantau jalan yang sesak dan mengambil tindakan perlu bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam kesesakan.

“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan pihak konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi mengelak kesesakan di laluan keluar Plaza Tol Kuala Terengganu (Kampung Gemuruh) dan pengguna juga diharapkan dapat mematuhi nasihat diberikan,” katanya pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 14/2019 di Kelulut, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abd Razak berkata, pihaknya turut mengenal pasti 23 kawasan yang kerap berlaku kemalangan di seluruh Terengganu ini membabitkan jalan persekutuan, jalan negeri dan LPT2.

Katanya, sebanyak 15 kawasan panas dikenal pasti di jalan persekutuan, lima kawasan di jalan negeri dan tiga lagi kawasan di LPT2.

“Operasi ini akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta pencegahan jenayah dengan harapan ia mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut.

“Op Selamat turut memberi fokus kepada pencegahan jenayah bagi mengelak kejadian pecah rumah dan jenayah lain,” katanya.

Berita Harian X