Rabu, 30 Januari 2019 | 3:17pm

Satu lagi kawasan hutan paya bakau diceroboh - SAM

GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini mendedahkan sebuah lagi kawasan tanah paya bakau di Batu Maung di sini, diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan dijadikan kawasan pembuangan sisa industri.

Pegawai Penyelidik SAM, S Mageswari, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada minggu lalu, yang melihat kepulan asap daripada kawasan tanah bakau terletak kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) itu.

“Hasil semakan, kami menjumpai kawasan tanah bakau ini dijadikan tempat pembuangan sisa industri dan ia dipercayai sudah diceroboh sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sangat terkejut kerana tanah bakau yang dimiliki Jabatan Perikanan Malaysia itu langsung tidak dipantau pihak bertanggungjawab sehingga menjejaskan ekosistem hutan paya bakau berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mageswari membawa kira-kira 20 pengamal media bagi meninjau keadaan hutan paya bakau seluas hampir satu hektar itu, yang kini dijadikan tapak lambakan sisa industri pemaju pembangunan.

Tinjauan NSTP mendapati, kawasan hutan paya bakau itu terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi sebuah lagi kawasan hutan paya bakau yang ditambak secara haram, yang pernah didedahkan sebelum ini.

Disember lalu, NSTP melaporkan mengenai kerja tanah ‘misteri’ di kawasan tanah bakau milik agensi kerajaan di Batu Maung.

Hutan paya bakau seluas empat hektar yang disewakan kepada sebuah syarikat itu dipercayai ditambak bagi perluasan kawasan secara haram.

Sementara itu, Mageswari berharap kerajaan negeri dapat membantu melindungi kawasan hutan paya bakau yang semakin terancam di Pulau Pinang.

“Di Batu Maung ini, hutan paya bakau adalah satu-satunya kawasan hijau yang tinggal, tetapi malangnya ia semakin terancam kerana gagal dipulihara.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat sentiasa melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menceroboh serta membuang sisa sampah di sini,” katanya.

PEGAWAI Penyelidik SAM, S Mageswari ketika ditemui di Batu Maung. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X