Rabu, 30 Januari 2019 | 3:33pm
KETUA Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Ariffin Mamat hadir pada Program ‘Jom Sembang Usahawan 2019’ di Kuching. - Foto Norsyazwani Nasri
KETUA Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Ariffin Mamat hadir pada Program ‘Jom Sembang Usahawan 2019’ di Kuching. - Foto Norsyazwani Nasri

1,053 koperasi ditubuhkan di Sarawak

KUCHING: Sarawak antara negeri di Malaysia yang cukup aktif dalam gerakan koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dengan jumlah 1,053 koperasi ditubuhkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Ariffin Mamat, berkata setakat ini, jumlah keanggotaan koperasi di Sarawak adalah seramai 261,533, dengan catatan perolehan mencecah RM150 juta.

Katanya, Sarawak memiliki perangkaan gerakan koperasi cukup kuat dari segi keanggotaan menerusi bantuan dan bimbingan SKM.

Malah, katanya, dengan adanya pelbagai aktiviti koperasi, ia berjaya melonjakkan ekonomi ahli melalui pelbagai cabang perniagaan.

“Setakat 30 Jun tahun lalu, sebanyak 14,094 koperasi ditubuhkan di seluruh negara membabitkan kira-kira enam juta ahli.

“Bagi koperasi Zon Sarawak, mereka berjaya melatih seramai 5,938 ahli menerusi 69 program yang dilaksanakan tahun lalu,” katanya ketika merasmikan Program ‘Jom Sembang Usahawan 2019’ di sini, semalam.

Mengenai program itu, Ariffin berkata, pihaknya yakin ia menjadi platform kepada gerakan koperasi dan usahawan tempatan mencari peluang perniagaan baharu.

“Program ini dapat memperkasakan ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam bidang keusahawanan, perniagaan, pentadbiran serta pengurusan koperasi khususnya gerakan koperasi di Sarawak.

“Program kali ini membabitkan penyertaan wakil Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SKM, Angkasa dan agensi di bawah MED,” katanya.

Berita Harian X