Khamis, 31 Januari 2019 | 6:26pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

Kementerian Kesihatan syor dasar sifar anjing liar bendung wabak rabies

IPOH: Kementerian Kesihatan bercadang untuk melaksanakan dasar sifar anjing liar di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies bagi membendung wabak itu.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata dasar itu bagi membolehkan anjing liar dimusnahkan, namun pelaksanaannya mesti mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu anjing tiada pemilik dan tiada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menjaga haiwan itu.

“Pertama, kita mahu melaksanakan dasar ini kalau ada anjing yang berkeliaran, sepatutnya setiap anjing ada pemilik. Jadi, pemilik sepatutnya bertanggungjawab untuk mengawal anjing mereka.

“Kedua, memang ada sesetengah anjing tiada pemilik tetapi ada NGO tertentu yang sedia menjaga kebajikan anjing berkenaan seperti Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

“Sekiranya ini tidak berlaku (perkara pertama dan kedua), dan masih ada anjing liar yang tidak ada pemilik atau pun dijaga oleh NGO, maka ini masalah yang serius kerana kita tahu penyakit rabies adalah penyakit serius yang boleh dikatakan kadar kematian kes adalah hampir 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata jangkitan rabies di Malaysia kebanyakannya tersebar melalui anjing liar dan bukan dari haiwan lain dan apabila manusia dijangkiti rabies, peluang untuk hidup adalah tipis.

“Jadi, apabila ada jangkitan rabies, sumber jangkitan itu adalah anjing liar yang tidak menerima vaksin, sebab itu kita katakan apabila ada jangkitan rabies dan perlu mengawal jangkitan itu, dasar sifar anjing liar ini mesti dilakukan.

“Sama ada kita pastikan pemilik menjaga anjing mereka atau NGO berkenaan memelihara anjing yang tiada pemilik, sekiranya tidak dapat buat kedua-dua ini, kita pertimbangkan untuk musnahkan anjing berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan negara pertama yang akan melaksanakan dasar ini kerana negara seperti Belanda dan Jepun sudah berbuat demikian.

“Kalau kita pergi negara maju, kita jarang tengok anjing liar berkeliaran sana sini. Jadi, setiap anjing yang kita boleh lihat di negara maju seperti di Singapura, setiap anjing pasti ada pemilik,” katanya.

Ditanya adakah dasar ini akan dilaksanakan di kawasan luar jangkitan rabies, beliau berkata perkara itu di luar bidang kuasa kementeriannya.

“Apabila tiada sebarang jangkitan, itu bukan hak Kementerian Kesihatan untuk membuat keputusan melaksanakan dasar ini, sebaliknya perkara itu adalah di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi pihak kementerian, kami amat mengambil berat soal kesihatan manusia, masyarakat, dan populasi yang ada di negara ini,” katanya.

Pada ketika ini, mukim Taiping dan mukim Bukit Gantang di Perak diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies pada 14 Januari lalu berikutan terdapat empat daripada 31 sampel otak anjing disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh.

Pada 21 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengakui rabies juga masih dikesan di Sarawak hingga kini selepas negeri itu diisytiharkan wabak pada Jun 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pula dilaporkan mengesahkan seorang warga tua berusia 80 tahun dari Kampung Sungai Du’uh, Serian, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 18 Januari lalu akibat jangkitan rabies.

Berita Harian X