Jumaat, 1 Februari 2019 | 10:16am
PENGARAH Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (dua dari kanan) dan wakil penaja Oyoshi dan IGLOO-UFL melepaskan spesies patin dan jelawat di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan DBKL

Taman Tasik Metropolitan pembuka tirai JPKL 2019

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 peserta dijangka menyertai pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 bagi siri pertama di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di sini, 10 Februari ini.

Pertandingan bagi tahun kelapan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menawarkan hadiah keseluruhan RM20,000 itu diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun, berkata sebanyak 10 lokasi sudah dikenal pasti bagi pertandingan itu sepanjang tahun ini.

Katanya, antaranya ialah Tasik Ampang Hilir, Tasik Metropolitan Batu dan Tasik Permaisuri, selain lokasi baharu seperti Tasik Perdana Botani dan Tasik Sri Rampai.

“DBKL berpuas hati dengan JPKL sejak lapan tahun lalu apabila penganjurannya telah meningkatkan kesedaran warga kota untuk bersantai bersama keluarga.

“Dengan adanya aktiviti sihat pada hujung minggu, diharapkan program pada tahun ini dapat menambahkan rasa cinta warga kota kepada Wilayah Persekutuan,” katanya selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Metropolitan, semalam, antaranya patin dan jelawat bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg).

Pertandingan bertemakan `Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’ disifatkan masa terbaik bersama keluarga, seterusnya mewujudkan suasana ceria bersama komuniti setempat.

Mohd Nazam berkata, hadiah keseluruhan wang tunai bagi pertandingan tahun ini dinaikkan daripada RM19,000 kepada RM20,000, dengan peserta yang mendaftar diberikan dua botol air Oyoshi sumbangan penaja.

Katanya, juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000, diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga, bakal memperoleh RM1,000.

"Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga ke-80 menerima RM100 seorang.

“Tahun ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli yang mana juara akan menerima RM300, kedua (RM200), ketiga hingga ketujuh (RM100) dan tempat kelapan hingga ke-10, RM50,” katanya.

Beliau berkata, Taman Tasik Metropolitan mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, belida dan toman bersaiz 10 hingga 15 kg menanti kaki pancing.

Oyoshi dan Igloo turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.

Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu dari jam 1 petang hingga 10 malam.

Maklumat lanjut, layari laman Facebook: jorankl atau hubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 atau 012-2846811.

Berita Harian X