Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:57am
JULAIHI Narawi meninjau pembinaan jalan pesisir di kawasan pedalaman dan luar bandar di Kuching. - NSTP/Norsyazwani Nasri

Bina jalan pesisir, jambatan baharu untuk manfaat rakyat

KUCHING: Sarawak akan memiliki tiga jambatan sungai terpanjang di Malaysia, iaitu Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa, tidak lama lagi.

Difahamkan, Jambatan Batang Lupar dijangka mencecah jarak antara 4.5 hingga lima kilometer (km), manakala Jambatan Batang Paloh berukuran 1.7 km panjang.

Sebuah lagi jambatan yang sedang dirancang pembinaannya ialah Jambatan Muara Lassa mencecah jarak 2.43 km.

Kesemua jambatan baharu ini dibina dua lorong yang dijangka mampu memudahkan pergerakan penduduk di kawasan pesisir.

Ia sebahagian daripada komponen pelengkap jalan pesisir sepanjang 900 kilometer menghubungkan wilayah selatan dan utara negeri ini, khususnya di kawasan pesisir Bumi Kenyalang.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur (Jalan Pesisir) Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, berkata inisiatif itu memperlihatkan komitmen kerajaan negeri membawa kemajuan kepada rakyat, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Malah, katanya, kerajaan negeri yakin hanya melalui kaedah itu, pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar dapat dipercepatkan, begitu juga pelaksanaan pelbagai projek lain menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Hanya melalui sistem perhubungan yang cekap, khususnya pembinaan jalan pesisir ini bersama jambatan penghubung, kita dapat mewujudkan akses kepada kemajuan di sesebuah kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Ini secara tidak langsung merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat, seterusnya meningkatkan taraf hidup penduduk, selain memudahkan pergerakan kehidupan harian mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, kerajaan Sarawak mahu menghubungkan jalan pesisir itu dengan semua penempatan di kawasan pesisir, selain meningkatkan sistem perhubungan darat di kawasan pedalaman dan luar bandar lain.

“Ini termasuk pembinaan Jambatan Batang Paloh akan menjadi jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar,” katanya.

Beliau berkata, kesemua projek pembinaan jambatan di sepanjang jajaran jalan pesisir di Sarawak kini diambil alih kerajaan negeri selepas ditangguhkan Kerajaan Persekutuan atas kekangan kewangan.

Sementara itu, Kampung Tekajong, Kampung Salah Kecil dan Kampung Penuai di Tanjung Manis akan dihubungkan melalui projek jalan pesisir itu.

Katanya, kerja pembinaan laluan sepanjang 16.1 km itu bermula pertengahan tahun lalu dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan, membabitkan kos RM19.3 juta.

Berita Harian X